28.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 6, 2024

PH hilang modal, anak Najib tidak jadi calon BN di PRK Chini

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan plus khususnya Tun Mahathir Mohamad sudah pasti menunggu masa sahaja jika Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk Mohd.Nizar Najib sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Walaupun tidak bertanding di kawasan berkenaan dengan pelbagai alasan, PH tetap akan menjadi pencalonan Mohd.Nizar sebagai modal untuk menyerang si bapa, Datuk Seri Najib Tun Razak – yang entah kenapa mereka geruni walaupun bekas Perdana Menteri itu hanya makan keropok Super Ring dan bermain Facebook.

Namun begitu impian tersebut tidak kesampaian apabila UMNO Bahagian Pekan yang diketuai oleh Najib membuat keputusan mencalonkan anak muda, Mohd. Sharim Md Zain – seorang anak peneroka Felda.

Mohd. Nizar Najib

Keputusan itu sudah tentulah ‘mengecewakan’ pemimpin PH plus kerana kehilangan satu modal besar untuk menyerang Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Hari ini melalui catatan dalam facebooknya, Najib berkata, Mohd. Nizar sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan memang layak dari segi jawatan parti, kepemimpinan, pengalaman serta pendidikan untuk menjadi calon PRK Chini.

Katanya, ramai dalam bahagian UMNO Pekan dan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) juga menyokong Nizar dicalonkan.

‘’Namun pendirian saya ialah, ada lagi pemimpin UMNO di sini yang setara atau lebih sesuai daripada Nizar untuk menjadi calon PRK DUN Chini. Lagipun, adalah amat janggal jika Nizar menang dan anak saya menjadi ADUN di sebuah parlimen di mana saya adalah Ahli Parlimennya,’’ katanya.

Najib menjelaskan, beliau juga telah berbincang pendiriannya dengan Mohd. Nizar dan anaknya itu bersetuju serta bersungguh-sungguh untuk membantu calon dipilih.

‘’Berkobar-kobar Nizar! Terima kasih Nizar di atas kesabaranmu dan tunjukkan sifat sebagai seorang pemimpin. Nama saya bukan Anwar atau Mahathir mahupun Kit Siang dan UMNO bukan parti milik keluarga sesiapa. Lebih molek jika kita beri peluang pada pemimpin UMNO lain di sana yang lebih sesuai,’’ katanya.

Untuk rekod Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Presiden PKR yang mengambil alih daripada isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail manakala anak mereka Nurul Izzah pernah menjadi Naib Presiden parti itu, bagaimanapun meletakkan jawatan pada 2018.

DAP pula menyaksikan Lim Kit Siang menjadi Penasihat parti itu manakala anaknya, Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung parti tersebut.

Advertisements

Tun Mahathir Mohamad adalah Pengerusi Bersatu dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz adalah Timbalan Presiden parti berkenaan tetapi berhasrat bertanding jawatan Presiden yang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun Mahathir dan Mukhriz telah gugur keahlian secara automatik kerana melanggar peraturan Bersatu.

Kesemua mereka adalah Ahli Parlimen, Anwar (Port Dickson), Wan Azizah (Pandan), Nurul Izzah (Permatang Pauh – kawasan yang pernah diwakili oleh bapa dan ibunya), Kit Siang (Iskandar Puteri), Guan Eng (Bagan), Mahathir (Langkawi) dan Mukhriz (Jerlun).

Melalui catatan dalam facebooknya itu juga Najib menjelaskan, Mohd.Sharim adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan anak tempatan.

‘’(Beliau) anak peneroka FELDA Chini 3 yang sudah lama berkhidmat di sana dan pernah menjawat sebagai Pegawai kepada Arwah YB Datuk Seri Abu Bakar Harun ADUN Chini. Beliau pernah menjawat sebagai Pegawai Koperasi Majlis Belia Felda Malaysia, Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan Naib Presiden Majlis Belia Pahang,’’ katanya.

Najib berkata, UMNO Bahagian Pekan amat yakin dengan kebolehan Mohd. Sharim dan yakin beliau akan berkhidmat dengan baik jika dipilih sebagai ADUN Chini.

‘’Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Sharim. Kepada penduduk Chini, saya dengan ikhlas meminta saudara-saudari. Undilah Mohd Sharim Md Zain. Undilah Barisan Nasional,’’ katanya.

Dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon BN itu, Najib berkata, Mohd.Nizar menunjukkan jiwa besar dan sikap amat positif yang mendahulukan kebaikan kepada parti.

‘’Maknanya bukanlah dia tidak layak malah mendapat sokongan menyeluruh tetapi beliau memikirkan untuk memberikan kepada anak tempatan yang betul-betul membesar di Chini untuk menjadi calon kita, inshaallah bakal menjadi wakil rakyat di kawasan ini,’’ katanya.

Sementara itu Mohd Nizar dalam ulasannya bersyukur dan berterima kasih kerana kepemimpinan parti itu memilih dalam kalangan Pemuda UMNO Pekan untuk menjadi calon.

‘’Saya doakan Sharim akan menjadi pemimpin yang baik, dihormati ramai dan memikul tanggungjawab yang diberi dengan amanah. Tahniah sekali lagi. Jentera Pemuda Pekan akan berikan sokongan penuh kepada calon kita!,’’ katanya.

Advertisements

Terkini

Zahid puji program CSR MARA, dedah pelatih aplikasi kursus

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji usaha Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendekati komuniti melalui program tanggungjawab...

Lagi Artikel Berkaitan