KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dicadangkan menyertai DAP berikutan ‘kesungguhan’ bekas Perdana Menteri itu mempertahankan parti tersebut sehingga sanggup memperlekehkan orang Melayu.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, beliau hairan dengan sikap Mahathir yang terus mengecam orang Melayu dengan menganggap mereka bacul dan penakut kerana percaya DAP boleh menghancurkan bangsa tersebut.
‘’Nampaknya Mahathir bersungguh-sungguh mempertahankan DAP, memandangkan beliau pun sudah digugurkan keahlian daripada Bersatu, saya berpendapat mungkin DAP parti sesuai untuk beliau sertai,’’ katanya kepada edisi9, di sini mengulas catatan Mahathir dalam blognya yang terus mempertahankan DAP.
Beliau berkata, cadangan tersebut bertepatan dengan kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini yang menyatakan DAP adalah parti pelbagai kaum.
‘’PKR pasti tidak akan terima Mahathir manakala Amanah pula hanya parti kecil, oleh itu lebih baik Mahathir sertai DAP kerana parti tersebut juga sudah menyatakan sokongan untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri kali ketiga dengan mengenepikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘’Lagipun bukanlah sesuatu yang janggal untuk beliau berbuat demikian kerana di dalam DAP pun sudah ramai orang Melayu dan ada antara mereka telah menjadi Ahli Parlimen dan ADUN,’’ katanya.
Jahaya juga hairan dengan sikap Mahathir dan DAP yang terus ‘menyerang’ dan memburuk-burukkan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun kini bekas Perdana Menteri tersebut tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti mahupun kerajaan.
‘’Mahathir dan DAP tahu sokongan rakyat kepada PH semakin merudum, justeru mereka cuba menggunakan modal lapuk dengan melancarkan serangan ke atas Najib sedangkan Najib sudah tidak ada apa-apa lagi jawatan,’’
Beliau mempersoalkan adakah tindakan Mahathir dan sekutunya itu bertujuan mengalih isu memandangkan PH kini ‘berantakan’ kerana perebutan jawatan Perdana Menteri antara Mahathir dan Anwar.
‘’Kalau Mahathir ada masalah politik dalaman dengan PH selesaikan dahulu masalah tersebut, tidak perlulah gelabah dan cuba alih isu dengan membuat catatan yang dianggap memperlekeh orang Melayu,’’ katanya.