PARTI Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk tidak menyokong Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sebaliknya kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendirian parti itu yang diumumkan dalam satu kenyataan media hari ini bagaimanapun menegaskan, tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat.
‘’Keadilan komited untuk mengukuhkan Pakatan Harapan dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak yang sefahaman untuk mengembalikan mandat rakyat dalam masa terdekat,’’ kata kenyataan tersebut yang turut menegaskan, mereka akan menumpukan tenaga dan bersiap siada menghadapi pilihan raya umum mengejut bila-bila masa.
Keputusan PKR itu satu tamparan untuk Mahathir yang sebelum ini mengharapkan beliau diberikan tempoh enam bulan memegang jawatan Perdana Menteri sebelum menyerahkannya kepada Anwar.
Tetapi kali ini PKR dilihat tidak mahu lagi terperdaya dengan helah politik Mahathir, biarpun tidak mustahil Mahathir akan menunaikan janjinya. Tindakan PKR tersebut akan memungkinkan berlaku kebuntuan dalam PH memandangkan tiga lagi parti iaitu DAP, Amanah dan Warisan menyokong Mahathir.
Bagaimanapun dengan memiliki 39 kerusi Parlimen, PKR tahu sejauh manakah kemampuan mereka untuk memastikan parti itu tidak lagi dipaksa mengikut telunjuk atau rentak politik Mahathir – seorang pemimpin yang menjadi punca lahirnya PKR kira-kira 22 tahun lalu.
Dengan pendirian PKR itu, DAP, Warisan dan Amanah tidak boleh berbuat apa-apa, biarpun dalam kenyataan medianya PKR menggunakan ayat ‘ mengembalikan mandat rakyat dalam masa terdekat’.
Kita tidak pasti cara manakah mandat itu akan diperolehi kerana mengikut kiraan PH plus hanya memiliki 107 kerusi sahaja.
Kalaupun mandat itu berjaya dicapai adakah Mahathir akan bersedia memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri seperti mana diputuskan oleh PKR?
Bagaimana pula dengan DAP adakah mereka bersedia mengubah pendirian sekali lagi untuk kembali menyokong Anwar? Tanpa sokongan Mahathir, PH hanya memiliki 102 kerusi dan tanpa PKR, PH hanya ada 68 kerusi.
PKR sudah pasti mengetahui hitungan ini tetapi mereka tegas menolak Mahathir kerana sudah serik ‘diperkotak-katikkan’ oleh bekas Perdana Menteri itu. Lagipun sebelum ini, PKR sanggup berkompromi membenarkan bekas musuh ketat mereka itu menjadi Perdana Menteri.
Tetapi Mahathir tidak menghargai pengorbanan PKR dan Anwar, apabila meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa berunding dengan PH sehingga kerajaan pakatan itu tumbang dan impian Anwar menduduki jawatan tersebut ‘berkubur’.
Biarpun kini Mahathir ada sokongan daripada tiga parti namun dengan keputusan PKR, ia ‘mencampakkan’ Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen Bersatu yang setia dengan beliau bagaikan ‘melukut di tepi gantang’.
Mungkin sebelum ini Mahathir berpendapat dengan sokongan DAP, Warisan dan Amanah, sudah pasti PKR akan turut menyokong kerana cadangan beliau hanya berkuasa selama enam bulan dan selepas itu Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih.
Namun PKR tidak mahu ‘di patuk ular di lubang yang sama’, tempoh enam bulan macam-macam boleh berlaku biarpun DAP menyatakan mereka ada cara untuk pastikan Mahathir berundur apabila cukup tempoh.
‘’Itu satu penghinaan untuk Mahathir kerana walaupun beliau menjadi Perdana Menteri tetapi orang lain akan tentukan bila patut berundur, kalau begitu, apakah bentuk pentadbiran yang beliau mahukan jalankan?
”Adakah sekadar habis masa enam bulan di pejabat bagi membolehkan beliau mencatatkan sejarah menjadi Perdana menteri tiga kali, kali pertama 22 tahun, kali kedua 22 bulan dan kali ketiga 6 bulan.
‘’Atau adakah dalam tempoh enam bulan beliau mahu melunaskan agenda yang belum selesai ketika menjadi Perdana Menteri 22 bulan, apa agendanya?
”Dan siapa boleh jaminan bahawa dalam tempoh itu, beliau boleh betul-betul berfungsi tanpa didominasi oleh sesiapa terutamanya DAP?,’’ kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.
Apapun keputusan PKR itu adalah tamparan politik untuk Mahathir, kalau parti lain mungkin ahli politik berusia 95 tahun tidak terasa sangat, tetapi keputusan atau pendirian itu diputuskan oleh parti Anwar – individu yang beliau kata tiada sokongan dan ‘gila-gila’ mahu menjadi Perdana Menteri.
Justeru ramai pemerhati politik menganggap tindakan PKR itu sebagai melunaskan dendam terhadap Mahathir yang selama ini dilihat bekerjasama dengan mereka untuk mencapai agenda politiknya tetapi dilihat tidak ikhlas mahu menyerahkan jawatan kepada Anwar.
Namun begitu penulis percaya, kekalutan bakal tercetus dalam PH berikutan pendirian yang dianggap berani oleh PKR.
Pada masa sama Mahathir juga perlu sedar keputusan PKR itu membuktikan cengkaman politiknya semakin longgar, strateginya semakin tumpul dan pengaruhnya semakin luntur. Inilah hakikat kehidupan.