TEMERLOH – Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini, seorang penuntut jurusan Diploma Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional (KV) Temerloh, Pahang mempunyai cara tersendiri mengisi masa terluang dalam tempoh tersebut.
Ahmad Irfan Hazim, 19, penuntut semester akhir tersebut mencipta alat membakar lemang yang dikenali sebagai dapur tong lemang dengan menggunakan plat zink dan besi hasil pembelajarannya di kolej tersebut.

Bermodalkan RM100, Ahmad Irfan mendapat idea untuk menghasilkan dapur tong lemang tersebut bagi membakar lemang yang merupakan antara makanan paling popular ketika sambutan perayaan Aidilfitri .
“Saya mempraktikkan pembelajaran saya di kolej dengan penghasilan tong lemang ini. Umumnya tong lemang ini sudah banyak kali dicipta oleh orang lain dan digunakan khususnya dalam teknik pembakaran lemang.
“Cuma inovasi yang saya hasilkan ini dengan kaedah pembakaran mengunakan kayu arang”, jelasnya ketika dihubungi Edisi 9 di Kampung Terengging, Kuala Krau, Temerloh, baru- baru ini.

Tong berukuran diameter keliling 22 inchi mempunyai penutup perangkap haba dan gegelang peletak buluh lemang itu boleh memuatkan 12 atau 15 batang lemang mengikut saiz dengan hanya dua jam pembakaran. Penggunaan alat ini bukan sahaja mudah tetapi juga dapat menjimatkan masa pembakaran berbanding menggunakan kaedah tradisional .

Menurutnya, tong lemang yang dihasilkan dengan pembakaran kayu arang ini dapat mengekalkan aroma semulajadi seperti pembakaran secara tradisonal.
” Sejak dari darjah enam lagi saya sudah membantu wan (nenek) membakar lemang secara tradisonal. Masa yang diambil terlalu lama. Jadi apabila saya menghasilkan tong lemang dengan kaedah pembakaran kayu arang ini, saya dapat mengekalkan aroma asli dan mesra alam walaupun kaedah pembakaran sudah berbeza” jelasnya lagi.
Tong lemang yang dihasilkan Ahmad Irfan mudah disimpan dan diselenggara untuk kegunaan di masa akan datang. Bagi yang berminat untuk menempah boleh menghubungi di talian 0179986751 dengan harga bermula RM250 hingga RM 280 bergantung pada saiz dan kapasiti lemang.-Edisi 9.
PERLETAKAN buluh lemang sebelum proses pembakaran.