24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Cukuplah Tun, kalaupun ‘sayang’ DAP, janganlah fitnah Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KEMARAHAN Tun Dr.Mahathir Mohamad terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata terus membara.

Dalam ‘serangan’ terbaru dalam blognya, bekas Perdana Menteri itu berkata,hanya pemimpin yang berani menolak tawaran Perdana Menteri sahaja, yang sanggup digugurkan dari parti “secara tidak sah” dan sanggup hilang peruntukan untuk kawasan masing-masing boleh menyelamatkan negara dan bangsa Melayu.

Dakwa ahli politik berusia 95 tahun itu, penyokong Muhyiddin bergerak ke sana-sini untuk menawarkan jawatan dan wang bagi meraih sokongan buat kerajaan Perikatan Nasional (PN). Beliau juga mendakwa, sesiapa yang menolak tawaran berkenaan akan diugut dan didera.

‘Serangan’ yang dianggap fitnah ini membuktikan kemarahan beliau semakin memuncak kerana usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin semakin tipis, apatah lagi berlaku pergelutan antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar dan PKR tidak mahu memberi laluan kepada beliau kerana tidak mahu diperbodohkan sekali lagi dengan politik licik Ahli Parlimen Langkawi itu.

Kalau betul lah apa yang didakwa, kenapakah Mahathir tidak membuat laporan secara rasmi kepada pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – bukankah itu akan meletakkan beliau sebagai orang yang akan mampu ‘menyelamatkan negara dan orang Melayu’?

Kenapakah hanya berani membuat tuduhan di blog sendiri sahaja dengan tujuan untuk memburuk-burukkan Muhyiddin dan PN?

Memang betul rakyat menjatuhkan Kerajaan BN yang dicanangkan oleh Mahathir dan sekutunya sebagai ‘Kerajaan kleptokrat’ tetapi tidakkah kemenangan PH ketika itu juga disebabkan oleh manifesto janji-janji palsu yang beliau sendiri akhirnya menyatakan ia bukan kitab suci yang wajib ditunaikan?

Tidakkah Mahathir terfikir apa yang berlaku kepada beliau dan PH adalah balasan daripada tindakan menipu rakyat untuk meraih sokongan dengan manifesto yang dibuat kerana ‘’tidak sangka boleh menang’’?

Ia adalah fakta dan jelas perbuatan menipu rakyat berbanding dakwaan Mahathir bahawa Muhyiddin melakukan tawaran untuk meraih sokongan?

Mahathir tidak perlu ‘cuci tangan’ atau buat-buat lupa bahawa kerajaan PN ditubuhkan selepas beliau sendiri mengaku salah strategi apabila meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Kalau Mahathir menganggap kerajaan sekarang hasil rampasan kuasa, bagaimana pula dengan cadangan beliau sebelum ini mahu menubuhkan Kabinet Perpaduan tanpa berdasarkan kepada parti politik?

Tidakkah itu pengkhianatan lebih dahsyat terhadap parti-parti dalam PH yang sanggup menerima beliau walaupun dahulu suatu ketika adalah musuh ketat bekas Perdana Menteri itu?

Adakah Mahathir mahu memiliki kuasa mutlak dengan melantik barisan Kabinet tanpa perlu berpakat dengan parti-parti tersebut yang dibanggakan oleh beliau dipilih oleh rakyat?

Advertisements

Sebenarnya Mahathir semakin tidak keruan kerana misi untuk menumbangkan Muhyiddin terus buntu dan impian yang dilihat kemaruk menjadi Perdana Menteri kali ketiga semakin tipis untuk dicapai.

Justeru sekali lagi bagi melepaskan perasaan marahnya, Mahathir terus mempertahankan DAP dengan menyatakan parti yang ditolak rakyat ‘’berjaya menakut-nakutkan sebahagian ahli politik PH – khususnya Bersatu – dengan mendakwa kononnya gabungan itu dikuasai oleh DAP.’’

Kita tahu Mahathir ‘cukup sayang’ dengan DAP kerana parti itulah yang sehingga kini terus memberi sokongan padu kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Atas dasar itulah DAP diberikan kementerian strategik seperti Kementerian Kewangan ketika dalam kerajaan dahulu, tak apa itulah hak beliau sebagai Perdana Menteri, walaupun ia ternyata banyak memberi kesan kepada orang Melayu, tetapi janganlah sampai terus mahu menghina dan mengecam pemimpin daripada bangsa sendiri.

Pemimpin-pemimpin DAP jauh lebih bijak berpolitik daripada Mahathir kerana mereka tidak pernah memperlekehkan pemimpin daripada kaum mereka.

Kebijaksanaan inilah yang telah ‘memperdaya’ Mahathir untuk bersama mereka walaupun dahulu pelbagai penghinaan dilemparkan kepada bekas Perdana Menteri tersebut.

Tetapi Mahathir tidak kisah sebab yang penting bagi beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan dan misi beliau kini ialah memastikan Muhyiddin yang membawa keluar Bersatu daripada PH kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan DAP disingkirkan.

Oleh itu Mahathir menuduh Muhyiddin menawarkan jawatan kepada mereka yang lebih mengutamakan perolehan untuk diri sendiri berbanding perjuangan.

Namun apapun Mahathir lakukan, ia tidak akan memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu. Mereka melihat apa yang Mahathir lakukan sekarang semata-mata hanya kerana dendam politik.

Mereka juga semakin muak dengan ‘kegilaan’ Mahathir terus memperlekeh pemimpin Melayu hanya kerana mahu mempertahankan DAP.

Kalaupun Mahathir marah kepada pemimpin-pemimpin tertentu, janganlah semuanya mahu ‘dipukul rata’, lagi pula kes-kes masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, janganlah kerana politik kebencian menguasai diri, Mahathir dilihat semakin hilang pertimbangan dalam berhujah dan bertindak.

Sayang sekali dalam usia 95 tahun, Mahathir masih mahu berpolitik dengan cara menabur fitnah, membuat tuduhan sesuka hati dan memburuk-burukkan orang lain, seolah-olah beliau lah insan terbaik yang paling layak untuk terus menjadi Perdana Menteri, beliau lah yang paling bijak untuk menguruskan negara dan orang yang bersama beliau sahaja yang paling baik dari segenap segi.

Baguslah kalau ada perasaan seperti itu tetapi janganlah sampai mahu memperlekeh dan menjatuhkan maruah bangsa sendiri walaupun berbeza fahaman politik kerana itu cara ‘orang yang jahil’ mahu menegur bangsanya.

Apapun, Cukuplah Tun! Ingatlah juga bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita akan diperhitungkan satu persatu bila tiba masanya. – Kalau faham..faham…kalau tak faham… sudah!

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan