30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tangguh dahulu sistem 2 syif klinik kesihatan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan dahulu sebarang usaha atau cadangan untuk melaksanakan sistem dua syif di semua klinik kesihatan di seluruh negara.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, penangguhan itu wajar kerana KKM ketika ini tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan sistem dua syif yang bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam memandangkan jumlah kakitangan bertugas sedia ada di klinik kesihatan hanya ‘cukup-cukup makan’.

Beliau berkata, sekiranya sistem dua syif tersebut tetap dilaksanakan oleh KKM, pihaknya bimbang kualiti perkhidmatan yang akan diterima oleh rakyat akan terjejas sehingga penjawat awam dipersalahkan selain meningkatkan tekanan kerja dalam kalangan warga kerja.

“Walaupun cadangan sistem dua syif ini baik untuk rakyat, tetapi ia sukar dilaksanakan kerana kekangan sumber terutama melibatkan staf yang tidak cukup serta sistem yang masih lagi menyedihkan di majoriti klinik kesihatan. Bagaimana klinik kesihatan ini dapat berfungsi dengan baik?

“Perkara ini belum mengambil kira staf yang perlu bercuti rehat atau cuti sakit. Dengan tenaga kerja yang cukup-cukup cuba bayangkan apabila staf pada hari biasa dengan kekuatan 10 orang jururawat, 5 petugas makmal, 6 doktor dan 4 petugas farmasi dibahagikan kepada dua syif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, Adnan menggesa sebarang usaha atau cadangan untuk melaksanakan sistem dua syif di semua Klinik Kesihatan di seluruh negara ditangguhkan sehingga satu sesi perbincangan dengan pihak kesatuan serta pihak yang berkepentingan diadakan terlebih dahulu.

Menurut Adnan, KKM memberikan Alasan sistem dua syif itu mahu dilaksanakan untuk memastikan penjarakan sosial terjaga dalam kalangan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan serta tidak mahu berlaku kesesakan premis berkenaan.

“Lebih banyak cara lain boleh dilaksanakan bagi memastikan penjarakan sosial dan kesesakan di Klinik Kesihatan, bukan dengan pelaksanaan sistem syif yang boleh menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari. Waktu operasi sedia ada iaitu 7.30 pagi hingga 5 petang dan dilanjutkan sehingga 9,30 malam sebagai ‘extended hours’ sudah hampir menyamai dengan hasrat KKM yang mahu penjarakan sosial dilaksanakan.

“CUEPACS bimbang sekiranya ia dilaksanakan dalam keadaan terburu-buru akan menimbulkan masalah di kemudian hari dan pada akhirnya yang menjadi mangsa adalah penjawat awam dan rakyat yang mahu mendapatkan perkhidmatan terbaik sehingga mengakibatkan staf kesihatan tertekan, manakala rakyat tidak lagi menerima perkhidmatan yang baik.

“Akhirnya yang dipersalahkan adalah penjawat awam itu sendiri apatah lagi dapatan daripada CUEPACS menunjukkan hampir kesemua pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sebelum pukul 5 petang berikutan kemudahan pengangkutan yang lebih mudah,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan