34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

UMNO berbakti dalam PN, berjuang bersama MN

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEJAK awal lagi penulis tidak bersetuju apabila UMNO dan Pas membuat keputusan bergabung dalam Perikatan Nasional (PN). – Penulis sudah agak bahawa lambat laun ia akan menimbulkan masalah memandangkan cara PN mengambil alih kerajaan tidaklah begitu ‘cantik.’

Tetapi apabila PN membentuk kerajaan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen – mungkin bukan dua pertiga tetapi cukup untuk menjadi Perdana Menteri – penulis menghormatinya kerana ia sah dari segi Perlembagaan.

UMNO dan Pas mengesahkan kerjasama mereka menerusi piagam yang ditandatangani pada 14 September lalu.

Bagaimanapun dikhabarkan keputusan UMNO menyertai PN, tidak begitu direstui oleh ramai pemimpin-pemimpin UMNO – mesyuarat MT sering sahaja ‘panas’ dengan persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh ahli MT- bagaimanapun memandangkan kepemimpinan tertinggi sudah membuat keputusan mereka terpaksa akur tetapi ia tidak bermakna mereka akan diam.

Kita dapat saksikan bagaimana ada pemimpin-pemimpin UMNO dengan lantang mengkritik tindak tanduk kerajaan termasuklah pembahagian portfolio dalam Kabinet kepada UMNO yang dianggap ‘tidak berbaloi’ dengan pengorbanan dan jumlah kerusi parti itu di Parlimen.

Namun kini semua ‘sudah terlambat’ pemimpin-pemimpin UMNO sama ada mereka suka atau tidak perlu menerima hakikat bahawa parti itu sudah berada dalam kerajaan, tetapi pada masa sama mereka jangan sesekali lupa bahawa seperti mana kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hasan;

“UMNO tidak bergabung dengan PN kerana gabungan itu bukan entiti politik berdaftar, tidak seperti Barisan Nasional, gabungan formal yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS. Secara mudahnya, ia adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH dan tidak lebih daripada itu.”

Walaupun kenyataan Tok Mat dikatakan tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Bersatu, tetapi apa yang beliau katakan adalah benar, malah terbaru Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Rais Hussin sendiri berkata, “Saya rasa biarlah Bersatu untuk Bersatu sahajala, UMNO kekal UMNO.”

Kenyataan itu sudah membuktikan apa juga kenyataan dan keputusan Tok Mat berkaitan PN adalah tepat. Justeru tumpuan UMNO ketika ini adalah memastikan kerajaan PN terus kukuh dan stabil demi kesejahteraan rakyat dan negara tetapi pada masa sama dari segi politiknya, memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang disepakati bersama Pas.

UMNO tidak bergabung dengan PN sebab gabungan itu bukan entiti politik berdaftar – Mohamad Hassan.

Hakikatnya dari segi sokongan politik khususnya daripada kalangan orang Melayu, MN jauh lebih baik daripada PN. Kehadiran UMNO dan Pas ke dalam PN dibimbangi oleh Pakatan Harapan (PH) – mereka tahu kewibawaan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas dalam menguruskan negara.

Sebab itulah, gerakan mula dilakukan melalui pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH untuk menggugat kerjasama dalam PN. Dari semasa ke semasa, kita dapat saksikan satu demi satu kenyataan dikeluarkan bagi menimbulkan keraguan rakyat kepada kerajaan PN.

Selepas tuduhan pengkhianatan, ‘tebuk atap’ dan ‘pintu belakang’ tidak berjaya, kini mereka cuba melakukan tindakan bagi memecah belahkan kerjasama antara pemimpin Bersatu dan UMNO. Apa yang berlaku di Johor, sudah menjadi bukti bagaimana segelintir pemimpin PH bagaikan ‘berpesta’.

Lanjutan itu terpacullah rayuan atau pandangan ‘songsang’ kononnya Bersatu berada dalam keadaan lebih baik bersama PH. Malah pemimpin Bersatu sendiri yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin melakukan desakan yang sama, untuk ‘menambah perisa’ ada pemimpin PH kata mereka setuju terima semula Bersatu.

Sepatutnya apa yang berlaku sepanjang 22 bulan PH memerintah seharusnya menjadi pengajaran kepada parti-parti Melayu bahawa mereka tidak boleh lagi berpecah belah, tetapi nampaknya keinsafan masih belum juga terwujud.

Sebaliknya sampai ke hari ini kita menyaksikan politik ‘antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang’ terus berlaku – bidalan ini cukup sinonim dengan Tok Mat yang sering menggunakannya setiap kali mengingatkan bahaya orang Melayu berpecah.

Inilah situasi sekarang, parti-parti Melayu sedang bertelagah sesama sendiri, pada masa sama ada parti lain ‘sedang makan kacang’ menyaksikan pertarungan itu kerana mereka tahu siapapun menang mereka tetap untung.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu ingat, jika mereka tersilap langkah, mereka akan berada dalam situasi ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’

Seharusnya kerajaan PN hanyalah medan untuk berbakti bagi menyelamatkan negara, tetapi apabila keadaan sudah stabil jangan lupa gelanggang perjuangan sebenar mereka adalah dalam MN kerana memetik kata Tok Mat,

“Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihan raya sebagai sebuah gabungan.’’ – EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan