27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Chong Wei: Ingatkan H nak minta air, rupanya…

Mesti Baca

BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sehingga kini kagum dengan seorang rakan sepelatih ketika remaja dahulu yang tetap meneruskan ibadah puasa walaupun setelah menjalani latihan yang teruk.

Menamakan rakannya itu sebagai H, Chong Wei berkata, kejadian itu berlaku semasa dia masih berstatus pemain pelapis skuad kebangsaan dan terpaksa menjalani latihan dalam bulan Ramadan.

“Saya selalu ingat waktu belasan tahun baru masuk Bukit Jalil. Latihan penat gila, matahari terik gila.

Coach (jurulatih) pula tak tahulah kenapa, gaduh dengan bini atau kalah stok market, marah saja hari itu. Bawa pasukan pemain pelapis termasuk saya terus pergi trek balapan, suruh lari 12km (kilometer). Punyalah panas.

“Sambil saya lari, saya toleh belakang, hati kesian dengan rakan sepasukan muslim H yang usia jambu macam saya. Saya tanya dia ok tak? Dia jawab ok walaupun muka pucat.

“Selepas habis saja 12km, tercangkung duduk di tepi penjuru stadium, minum air sambil basahkan muka disebabkan sangat panas. H pun sampai, ingatkan nak minta air, kita pun sedia nak hulur.

“Namun, dia hanya senyum, basuh muka dan beransur pulang ke hostel. Respek (hormat) sangat.

“Waktu berbuka puasa terlihat wajah kepuasan H apabila terdengar azan. Hormat saya pada dia sampai sekarang tak pernah luntur,” kata Chong Wei.

Ekoran perkongsian tersebut, warganet meneka rakan Chong Wei yang dimaksudkan itu ialah bekas juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim.

Chong Wei turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia.

“Bulan puasa 2020 memang istimewa. Saya pasti semua rakyat Malaysia akan ingat selama-lamanya dan diceritakan kepada anak cucu nanti pada masa akan datang.

“Walaupun saya tidak menjalani ibadah puasa tetapi saya harap kawan-kawan semua dapat berpandangan positif berpuasa MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) di rumah,” katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan