33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024
Home Blog Page 917

Warga emas hilang tiga hari ditemukan maut dalam gaung

0

MISTERI kehilangan seorang warga emas sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemukan maut selepas kereta dipandu terjunam ke dalam gaung di Kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing di Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 9.10 pagi berhubung penemuan Perodua Myvi berwarna biru dengan bernombor pendaftaran WC9129E itu.

Menurutnya, Zahari Zakaria, 62, dilaporkan hilang oleh anaknya sehari selepas bertolak dari rumahnya di Kemaman, Terengganu ke tempat kerjanya di Pasir Gudang, Johor.

“Mangsa tidak dapat dihubungi selepas 24 jam dan anaknya membuat laporan polis.

“Dalam kejadian Ahad lalu itu, mangsa dipercayai hilang kawalan kereta dipandunya dan terbabas di selekoh sebelum jatuh ke dalam gaung dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya masih meneruskan siasatan dan menasihatkan pemandu jalan raya lebih peka terhadap pemanduan ketika melalui jalan gelap, cuaca hujan dan berselekoh bagi mengelak kemalangan.

Terdahulu keluarga Zahari turut membuat hebahan di media sosial dengan meminta orang ramai mengesan bapanya yang gagal dihubungi.

Siti Nurfaezah Zahari dalam satu perkongsian di Facebook, merayu orang ramai mencari bapanya yang memandu kereta Myvi biru selepas gagal menghubungi lelaki itu lebih 24 jam.

“Kami khuatir kereta ayah saya terbabas di sepanjang jalan laluan dari
Kemaman ke JB melalui laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” katanya.

-EDISI9

Peniaga burger direman 5 hari, letak vape di mulut bayi

SEORANG peniaga burger dikenakan perintah reman selama lima hari berikutan tindakannya meletakkan alat menghisap vape di mulut bayi perempuan berusia enam bulan.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret, R. Salini di sini bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, suspek ditahan polis ketika dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 12.45 tengah hari, semalam.

Menurut beliau, polis menerima laporan kejadian oleh ibu bayi berkenaan pada pukul 2.56 petang, Sabtu lalu.

“Menurut laporan tersebut, pengadu sedang makan di sebuah restoran di Bandar Baru Uda bersama anaknya iaitu bayi berkenaan, adik perempuan dan rakan lelaki adik perempuannya yang merupakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Suspek yang sedang memangku bayi berkenaan ketika itu secara tiba-tiba meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi manakala kejadian dirakam adik perempuan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, suspek yang berpakaian hitam dan berambut perang itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi.-Edisi 9

LRA Sungai Rasa: Kerja penyenggaraan aset bermula ikut jadual

0


KERJA-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa (LRA Sg Rasa) telah dimulakan pada jam 9 pagi hari ini, mengikut jadual.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri, ia dijangka siap pada jam 9 malam ini,

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di kesemua 188 kawasan di wilayah Hulu Selangor pada jam 1 pagi, 11 Ogos 2022 (Khamis),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, bagi membantu pengguna, Air Selangor menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak,”tambahnya.

Bagi tujuan ini, katanya, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Damai Utama, Puchong.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasinya, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.-Edisi 9

Transformasi pendidikan bukan pentaksiran semata-mata

0

TRANSFORMASI pendidikan bukan hanya tertumpu kepada pentaksiran semata-mata malah turut meliputi inovasi dalam pedagogi serta penerapan teknologi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau percaya ia tidak mustahil dilaksanakan dan dikuasai warga pendidik dengan mengambil kira keupayaan mereka meneroka kaedah pengajaran secara dalam talian atau Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika tempoh dua tahun yang sukar akibat pandemik Covid-19.

“KPM turut menambah baik profesion keguruan, khususnya dalam aspek pengambilan serta urusan penempatan dan pertukaran guru.

“Pengambilan guru secara one-off serta mewujudkan dashboard utility bagi memantau penggunaan utiliti sekolah merupakan antara transformasi yang dilaksanakan KPM walaupun sebelum ini dianggap sukar untuk dilakukan,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Forum Transformasi Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Kuala Lumpur, semalam.

Forum itu antara lain memberi ruang kepada rakan strategik KPM berkongsi amalan terbaik masing-masing selain sebagai platform mendapatkan pandangan daripada pakar pendidikan tentang pendekatan mendepani cabaran semasa, termasuk pelaksanaan transformasi pendidikan negara.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM amat menghargai kerjasama dan kepercayaan seluruh warga pendidikan, pemegang taruh serta rakan strategik yang menyokong usaha mentransformasi dan mewujudkan kelestarian sektor pendidikan agar dapat dicapai seiring dengan hasrat PPPM 2013-2025.

“Syabas dan tahniah kepada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) atas kejayaan menganjurkan forum ini.

“Ia sekali gus meraikan kerjasama di antara KPM dengan rakan strategik serta pemegang taruh dalam merealisasikan transformasi pendidikan. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya. – Edisi 9

Pengarah urusan dipenjara 230 tahun kerana tipu pakej umrah

SEORANG pengarah urusan sebuah syarikat dipenjara 230 tahun selepas didapati bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

Memetik laporan Utusan Online, Majistret Arif Mohamad Shariff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan membenarkan semua hukuman dijalankan serentak bermula tarikh sabitan yang bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Tertuduh turut dikecualikan hukuman sebatan kerana telah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh hukuman itu kerana ingin membuat rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, majistret menetapkan jaminan RM80,000 yang dikenakan ke atas tertuduh sebelum ini dinaikkan kepada RM88,000 dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa dipegang oleh mahkamah sehingga selesai rayuan.

Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika melakukan kesalahan itu merupakan pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd. telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Individu itu, Amzari Halim yang juga pengadu dalam kes terbabit merupakan perunding dan mutawwif umrah yang telah diminta oleh tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun tertuduh tidak memaklumkan kepada pengadu bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya dan pekerja-pekerja syarikat tersebut.

Kesemua 56 transaksi yang dilakukan dalam tempoh 23 hari antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan seramai 202 peserta bagi rombongan umrah dan ziarah itu.

Tertuduh telah menghantar itenari tiket kesemua peserta kepada pengadu di mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016, namun didapati dokumen yang dibekalkan tertuduh tidak sah dan tidak wujud.

Tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 dan dikenakan 23 pertuduhan memperdayakan Amzari untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah antara RM2,000 hingga RM36,600.

Kesemua kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di Kedah, Johor, dan Selangor antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming.

‘King’ naik pangkat jadi kenderaan polis?

0

TULAR di media sosial sejak kelmarin beberapa buah kenderaan jenis Perodua Myvi atau digelar ‘King’ oleh warganet dilihat seperti kenderaan polis.

Video berdurasi 22 saat itu dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook Rentaka Lela ke kumpulan Myvi 3rd Generations Club Malaysia 6 Ogos lalu.

Tiada butiran lanjut mengenai lokasi serta bilangan kenderaan tersebut namun “pujian” tiga patah perkataan dikongsikan bersama video tersebut.

“King yang sebenar,” kongsinya kelmarin.

Perkongsian berkenaan mendapat lebih 1,500 reaksi serta dikongsi lebih 2,800 kali oleh pengguna Facebook.

Buat masa ini tiada pengumuman rasmi dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penggunaan kenderaan jenis Perodua Myvi sebagai sebahagian daripada kenderaan rasmi pasukan Sang Saka Biru itu.

Untuk rekod, antara jenama kenderaan rasmi yang pernah dan masih digunakan PDRM ialah Honda Civic FC, Proton X70, Proton Satria GTI, dan Mitsubishi Lancer Evolution.

Lebih menarik lagi,  PDRM pernah menggunakan Alfa Romeo dan Peugeot 206 sebagai kereta peronda.

-EDISI9

Beregu wanita badminton sumbang emas ketujuh negara

0

GANDINGAN mantap pemain beregu wanita, M Thinaah dan Pearly Tan berjaya menyumbang pingan emas ketujuh buat negara dalam Sukan Komanwel 2022 edisi Birmingham hari ini.

Mereka berjaya memenangi pingat emas setelah mengalahkan pemain England, Birch Chloe dan Smith Lauren pada aksi badminton akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center.

Pasangan beregu menang dengan 21 – 5 dan 21 – 8.

Malah, beregu nombor 11 dunia itu berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi oleh Vivian Hoo-Chow Mei Kuan pada empat tahun lepas.

Kejayaan berkenaan menjadikan keseluruhan sumbangan pingat emas beregu wanita kelima Malaysia dalam sejarah Komanwel sejak gandingan Ang Li Peng-Lim Pek Siah menang pada 2002, diikuti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada 2006.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan tahniah buat pasangan beregu M Thinaah dan Pearly Tan.

“Tahniah buat #KontinjenMALAYSIA yang menyertai temasya Sukan Komanwel di Birmingham kali ini !Anda adalah Perwira kami ! Teruskan perjuangan anda di masa akan datang ! Kongsinya hari ini.

Majllis penutup Sukan Komanwel 2022 akan diadakan di Stadium Alexander, bermula 8 malam waktu tempatan atau 3 pagi (Selasa) waktu Malaysia.

-EDISI9

Isu LCS: Jangan sampai dedah rahsia keselamatan negara

0

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang “pencerahan” mengenai isu keselamatan yang berkait dengan kontroversi Kapal Tempur Pesisir (LCS) berisiko mendedahkan rahsia keselamatan negara.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, pihak kerajaan perlu menangani isu LCS berkenaan dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh mahkamah netizen.

Malah menurutnya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan.

“Pihak berkuasa dan kerajaan perlu memberikan perspektif yang menyeluruh. Asasnya apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan dan cuba hentikan projek itu.

“Isu platform Sigma atau Gowind adalah produk lama dan baharu yang pihak berkaitan lebih tahu dan perlu (beri) pencerahan kepada pihak awam.

“Namun, terdapat kebimbangan pencerahan kepada aspek keselamatan negara kita akan menjejaskan rahsia keselamatan negara.

“Justeru, kerajaan perlu menangani isu ini dengan lebih bijaksana dan telus supaya tidak tenggelam oleh mahkamah netizen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ujar Ahmad Zahid, isu perolehan LCS itu dimaklumkan tanpa perspektif menyeluruh, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Memang netizen cenderung suka perkara sensasi, namun setiap fakta dan data perlu diketahui secara lebih jelas dan tepat.

“Zaman netizen menjadi peguam dan hakim di jabatan netizen adalah zaman baharu selepas kepesatan teknologi mewabak hingga berlaku kekeliruan.

“Kekeliruan disebabkan tidak dapat membezakan di antara yang palsu dan benar,” katanya.

Kontroversi perolehan LCS oleh kerajaan kembali menjadi polemik susulan pembentangan laporan siasatan PAC di Parlimen, yang menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan itu menjelaskan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Projek LCS bermula pada 2011 yang mana ketika itu negara ditadbir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diluluskan ketika Ahmad Zahid menjadi Menteri Pertahanan.

Semalam, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, dilaporkan mendakwa Ahmad Zahid bertanggungjawab mengubah reka bentuk daripada Sigma kepada Dowind sebelum berunding dan mendapatkan nasihat TLDM.

-EDISI9

PDRM umum kenaikan pangkat, pertukaran jawatan pegawai kanan

0

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat 20 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 12 September ini.

Mendahului senarai adalah Timbalan Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad, yang bertukar ke Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pula akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Katanya, selain itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin ditukar kepada Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis (DCP).

“Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunselling) Bahagian Agama dan Kaunselling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Ghazali Daud pula bertukar kepada Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunselling) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di samping itu, Noorsiah berkata,Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Perundangan) PDRM, Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof bertukar sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur dengan memangku pangkat DCP.

“Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ulu Kinta, Perak, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff pula akan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat DCP.

“Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang pula bertukar sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya.-Edisi 9

Akaun telegram peribadi PM digodam

0

AKAUN telegram peribadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ismail Sabri berkongsikan maklumat berkenaan dalam satu ciapan di Twitter sebentar tadi.

“Perhatian. Akaun Telegram peribadi saya telah digodam oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Mohon laporkan kepada pihak berkuasa dan abaikan sebarang mesej yang diterima daripada akaun berkenaan,” katanya.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mendakwa akaun Telegram miliknya telah digodam dan digunakan untuk mendapatkan duit daripada kenalannya.

Susulan itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkenaan meminta sesiapa yang dihubungi melalui akaun berkenaan supaya mengabaikannya.

“Akaun Telegram saya telah digodam. Jika anda menerima mesej saya ingin meminjam duit, sila abaikan,” kongsinya di Facebook 2 Ogos lalu.

Selain Maszlee, pemimpin politik lain yang berhadapan dengan kejadian akaun media sosial Telegram dan WhatsApp digodam ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam kemas kini di laman Twitter 16 Februari lalu.

Di Negeri Sembilan pula, akaun Telegram milik Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan digodam pada penghujung Februari lalu.

Veerapan berkata, perkara itu disedari selepas isterinya menerima mesej menerusi aplikasi tersebut mengatakan beliau mahu meminjam wang.

Dalam pada itu, scammer juga dilihat begitu berani menggunakan nama dan gambar pemimpin politik negara.

3 Ogos lalu, scammer menggunakan nama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah dikesan menerusi aplikasi WhatsApp.

Amirudin menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan pihak tersebut menggunakan nombor 01162232985 untuk melakukan kegiatan terbabit.

“Saya dimaklumkan ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar saya bagi melakukan aktiviti penipuan di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor 01162232985.

“Ini adalah palsu dan merupakan satu bentuk ‘scam’. Sila ambil maklum dan berhati-hati,” katanya.

-EDISI9

MOT kaji projek Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan, tahun depan

0

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan kajian bagi memperincikan cadangan pembinaan projek Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kajian itu juga sudah menerima kelulusan daripada pihak Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk dilaksanakan selama setahun.

“Saya lihat asas yang sudah dibina di pelabuhan ini banyak yang kita perlu lakukan. Sebab itu, baru-baru ini kita sudah luluskan satu cadangan untuk kita adakan kajian selama satu tahun dan kita ingin mulakan tahun hadapan.

“Dari segi kosnya, sama-sama kita tunggu kajian ini dan kita akan rencanakan. Dalam keadaan ini, kita perlu lihat secara terperinci apa komponen yang kita boleh laksanakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias, mengenai perkembangan terkini cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancangkan di kawasan Rancha-Rancha.

Ka Siong berkata, cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan itu dilihat mampu menangani kesesakan lalu lintas bagi laluan keluar dan masuk pelabuhan itu, selain menampung operasi penyimpanan kargo yang terhad di Pelabuhan Labuan.

“Dijangka dengan adanya ini, peningkatan kargo di Labuan dapat ditingkatkan sehingga 200,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) dan 3,000 kadar singgahan kapal dalam tempoh 30 tahun.

“MOT sudah meneliti serta memperhalusi cadangan dan tiada halangan mengenai cadangan itu.

“LPL juga sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL untuk membangunkan pelan induk Pelabuhan Labuan,” katanya.

Beliau berkata, LPL juga dalam proses mempertingkatkan kecekapan pelabuhan, menggubal undang-undang kecil pelabuhan serta sedang memperkemaskan prosedur pelabuhan bagi memastikan Pelabuhan Labuan sentiasa berdaya saing. – BERNAMA

OPR dijangka naik lagi September ini

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini, kata Kenanga Research (Kenanga).

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan OPR adalah berdasarkan jangkaan bahawa kadar inflasi Malaysia akan berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan di tengah-tengah peningkatan kos import.

“Dalam usaha untuk selaras dengan pendirian bank-bank pusat yang lain, kami beranggapan BNM akan terus mengetatkan mesyuaratnya dengan OPR mencecah 3.0 peratus menjelang suku pertama 2023 ,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Kenanga berkata ringgit mungkin terus diniagakan melepasi paras 4.40 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.

“Ini ialah kerana permintaan untuk mata wang yang lebih selamat dijangka kekal kukuh didorong oleh kebimbangan yang semakin memuncak mengenai kemelesetan global, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang terus cenderung menaikkan kadar faedah, ketegangan AS-China yang berpotensi untuk terus meningkat dan krisis tenaga Eropah.

“Bagaimanapun, mata wang tempatan mungkin mula mengukuh kembali berbanding dolar AS pada suku keempat 2022 berikutan jangkaan aliran pelaburan asing yang utuh ke Malaysia di tengah-tengah peningkatan selera risiko untuk aset pasaran pesat membangun,” katanya.

Di pasaran bon, firma penyelidikan menjangkakan permintaan asing untuk bon domestik akan terus tertekan pada Ogos susulan sentimen penolakan risiko global disebabkan kebimbangan kemelesetan yang berlarutan dan ketegangan AS-China yang diperbaharui.

“Hasil domestik diunjurkan meningkat minggu ini, mengambil petunjuk daripada lonjakan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini selepas kebimbangan mengenai kemelesetan AS kembali reda berikutan laporan pekerjaan bulan Julai yang jauh lebih baik daripada jangkaan,” katanya.

Bagaimanapun, ia berkata, aliran menaik itu mungkin dihadkan oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2022 yang berpotensi kukuh dan ia dijangka diumumkan pada 12 Ogos 2022.-BERNAMA