26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Transformasi pendidikan bukan pentaksiran semata-mata

Turut meliputi inovasi dalam pedagogi serta penerapan teknologi pendigitalan dalam PdP

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TRANSFORMASI pendidikan bukan hanya tertumpu kepada pentaksiran semata-mata malah turut meliputi inovasi dalam pedagogi serta penerapan teknologi pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, beliau percaya ia tidak mustahil dilaksanakan dan dikuasai warga pendidik dengan mengambil kira keupayaan mereka meneroka kaedah pengajaran secara dalam talian atau Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika tempoh dua tahun yang sukar akibat pandemik Covid-19.

“KPM turut menambah baik profesion keguruan, khususnya dalam aspek pengambilan serta urusan penempatan dan pertukaran guru.

“Pengambilan guru secara one-off serta mewujudkan dashboard utility bagi memantau penggunaan utiliti sekolah merupakan antara transformasi yang dilaksanakan KPM walaupun sebelum ini dianggap sukar untuk dilakukan,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Forum Transformasi Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Kuala Lumpur, semalam.

Forum itu antara lain memberi ruang kepada rakan strategik KPM berkongsi amalan terbaik masing-masing selain sebagai platform mendapatkan pandangan daripada pakar pendidikan tentang pendekatan mendepani cabaran semasa, termasuk pelaksanaan transformasi pendidikan negara.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM amat menghargai kerjasama dan kepercayaan seluruh warga pendidikan, pemegang taruh serta rakan strategik yang menyokong usaha mentransformasi dan mewujudkan kelestarian sektor pendidikan agar dapat dicapai seiring dengan hasrat PPPM 2013-2025.

“Syabas dan tahniah kepada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) atas kejayaan menganjurkan forum ini.

“Ia sekali gus meraikan kerjasama di antara KPM dengan rakan strategik serta pemegang taruh dalam merealisasikan transformasi pendidikan. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan