28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 916

Kes LCS: Pejabat Peguam Negara akan segera buat keputusan

0

PEJABAT Peguam Negara (AGC) akan segera membuat keputusan berhubung kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS) membabitkan peruntukan RM9.128 bilion.

Berikutan itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, meminta rakyat Malaysia bersabar sementara pihaknya selesai meneliti kertas siasatan yang sudah diserahkan kepada pejabatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“AGC akan buat keputusan asap (secepat mungkin), please bear with us (minta bersabar),” katanya, lapor BH Online.

Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Suruhanjaya itu juga memaklumkan, ia sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.

Jemaah Menteri dilapor pada minggu lalu, meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya sebelum ini menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat

0

JUMLAH kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menunjukkan peningkatan pada Minggu Epidemiologi (ME) 32/2022, iaitu dari 7 Ogos hingga 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan perbandingan dengan ME 31/2022, jumlah pesakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 ke hospital awam juga turut mencatatkan peningkatan sebanyak 11.4 peratus pada ME 32/2022.

“Pada masa sama, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 turut mencatatkan peningkatan di mana penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 2 peratus manakala penggunaan katil kes bukan kritikal dan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing meningkat sebanyak 1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, peningkatan turut dikesan ke atas jumlah kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara.

“Berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 31/2022 dan ME 32/2022, jumlah kedatangan pesakit ke CAC didapati meningkat sebanyak 3.9 peratus iaitu daripada 13,238 kes kepada 13,757 kes.

“Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk oleh CAC ke hospital juga didapati meningkat sebanyak 66.4 peratus iaitu daripada 220 kes sebelum ini kepada 366 kes,” ujar beliau.

Bagaimanapun, menurut beliau, trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya oleh CAC menunjukkan telah berlaku penurunan sebanyak 5.5 peratus pada akhir ME 32/2022 iaitu daripada 66,182 kes kepada 62,516 kes.

“Terdapat juga peningkatan bilangan kes sembuh daripada Covid-19 pada ME 32/2022 sebanyak 1.1 peratus malah bilangan kes baharu turut menurun sebanyak 6.6 peratus iaitu daripada 28,554 kes kepada 26,678 kes.

“Berdasarkan rekod, terdapat penurunan sebanyak 6.5 peratus pada bilangan kes tempatan iaitu daripada 28,499 kes kepada 26,656 kes malah kes import juga mencatatkan penurunan sebanyak 60.0 peratus iaitu daripada 55 kes kepada 22 kes,”katanya.

Tambah Dr. Noor Hisham, bilangan kes kematian pada ME 32/2022 kekal 60 kes manakala purata kes aktif dalam tempoh sama adalah sebanyak 44,706 iaitu menurus sebanyak 2.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.-Edisi 9

Agong, Permaisuri adakan lawatan negara ke Turkiye

0

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan negara selama tujuh hari.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 10 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.

Turut hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Sementara itu Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata lawatan negara itu adalah atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata, lawatan negara ke Turkiye telah dijadualkan pada tahun lepas, tetapi telah ditangguh berikutan penularan wabak COVID-19.

“Lawatan negara ini juga yang pertama buat Seri Paduka Baginda berdua bagi tahun ini dan juga sejak bulan Ogos 2019,” katanya.

“Kali terakhir Seri Paduka berdua mengadakan lawatan negara ialah ke Indonesia selama empat hari, bermula pada 26 Ogos 2019.

“Ekoran daripada gelombang penularan wabak COVID-19 bermula pada awal tahun 2020, lawatan-lawatan negara yang telah dijadualkan pada tahun 2020 dan 2021 telah ditangguh,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, ketika di Turkiye, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Istana Presiden, Ankara, dan Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Negara yang dianjurkan Erdogan di Istana Presiden, esok.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat melawat FNSS Defense Systems A.S di Ankara, manakala Raja Permaisuri dijadualkan berangkat melawat Muzium Goreme di Cappadocia.

Ahmad Fadil berkata, pada Khamis pula, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat melawat Turkish Aerospace Industries, Ankara manakala Raja Permaisuri pula dijadualkan berangkat melawat Ankara Advance Technical Institute for Girls.

“Pada hari yang sama, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Islam Diyanet di Ankara sebelum berangkat ke Istanbul,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat melawat Makam Abu Ayyub al-Ansari, Makam Sultan Abdul Hamid II, Masjid Besar Hagia Sophia dan Muzium Istana Topkapi di Istanbul Jumaat ini.

“Pada sebelah malam pula, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Istanbul.

“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Istana Dolmabahce Sabtu ini,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, lawatan negara terakhir ke Turkiye oleh Yang di-Pertuan Agong ialah pada tahun 1992 yang ketika itu oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Beliau berkata, lawatan negara itu melambangkan kepentingan, keakraban dan keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye, sekali gus menyumbang ke arah mengukuhkan jalinan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak tahun 1964.

“Lawatan negara ini turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan juga terhadap kelestarian prestasi pelaburan dan kepentingan negara di Turkiye,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, selepas Turkiye, Seri Paduka berdua dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Singapura bulan hadapan.
— BERNAMA

Ginjal rosak, radang hempedu kerana suplemen ketum

0

SIAPA sangkat seorang lelaki yang baharu berusia 28 tahun terpaksa menanggung derita masalah jangkitan dalam darah (sepsis), kerosakan ginjal dan radang hempedu gara-gara mengamalkan pengambilan suplemen dan produk berasaskan ketum.

Menurut Kesihatan Awam Malaysia (PHM), lelaki terbabit dimasukkan ke hospital setelah dia mengalami demam, sakit perut, keletihan dan kencing yang gelap.

“Dalam siasatan, pesakit dikatakan menelan 12 kapsul ketum dua kali sehari dalam masa beberapa bulan yang dikatakan sebagai suplemen kesihatan.

“Pesakit di dapati demam, nadi laju, kekuningan mata, perut yang sakit bila ditekan. Kencingnya mempunyai protien yang tinggi menunjukkan ginjal tidak mampu menapis dengan baik atau rosak.

“Beliau juga mengalami anemia dan masalah hati. Ultrasound hati menunjukkan hempedu telah menebal disebabkan radang. Pesakit dimasukkan ICU dan sembuh selepas rawatan,” kata jabatan itu hari ini.

Dalam satu lagi kes, seorang wanita berumur 45 tahun yang juga mengambil suplemen ketum dengan dos berlebihan menyebabkan kratomnya telah mengalami kelesuan, kekeliruan, kehilangan pendengaran sementara dan bengkak serta lebam pada bawah kaki kanan.

“Pesakit didiagnosis dengan rhabdomyolysis (sel otot mati), compartment syndrome, disfungsi multiorgan termasuk kecederaan buah pinggang akut, kerosakan hati, dan jantung bengkak.

“Dia menjalani pembedahan fasciotomy kecemasan dan memerlukan hemodialisis. Fungsi buah pinggang dan hati beliau kemudiannya bertambah baik selepas dimasukkan ke ICU,” katanya.

Untuk rekod, rhabdomyolysis adalah keadaan penyakit serius yang boleh membawa maut atau mengakibatkan hilang upaya kekal.

Penyakit itu berlaku apabila tisu otot yang rosak melepaskan protein dan elektrolitnya ke dalam darah.

Sehubungan itu PHM menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang suplemen berasaskan ketum mahupun sebarang produk ketum.

Bahan-bahan itu, kata PHM, boleh merosakkan jantung dan buah pinggang serta menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, dianggarkan sebanyak 128,000 orang mengambil ketum di Malaysia iaitu kedua tertinggi selepas ganja.

-EDISI9

Kertas Putih Kesihatan perlu ‘kebal’ walau kerajaan bertukar

0

KERTAS Putih Kesihatan perlu menjadi penyataan hasrat bersama semua pihak untuk memastikan sistem kesihatan di Malaysia lebih mampan dan berdaya tahan melalui pemikiran kerajaan dan masyarakat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020 memperlihatkan betapa perlunya pembaharuan dalam penjagaan kesihatan.

“Ia membabitkan kesihatan, kewangan dan hubungan sosial yang saling bergantung dengan begitu ketara, yang belum pernah terjadi sebelumnya.

“Justeru, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membangunkan Kertas Putih Kesihatan, KKM juga perlu memastikan rancangan pembaharuan itu ‘kebal’ dan akan terus bertahan walaupun parti mana yang menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 dengan tema Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Sebahagian peserta Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022.

Khairy berkata, usaha yang ditetapkan ini harus terus diperkukuh, namun memerlukan pembaharuan sistemik mengenai cara penjagaan kesihatan disampaikan, dibiayai dan ditadbir.

“Bagi menjamin perubahan jangka panjang ini, Kertas Putih Kesihatan akan memberi tumpuan kepada pembaharuan yang paling asas untuk menangani cabaran sistemik dan struktur utama yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan, bukan penyakit tertentu atau individu kumpulan demografi.

“Justeru, sokongan bipartisan untuk pembaharuan yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan adalah kritikal dan saya berharap kita semua akan memainkan peranan dalam menyokong pembentangannya di Parlimen pada akhir tahun ini,” katanya.

Warga emas meninggal dunia, jatuh gaung ketika mendaki

0

SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia selepas tergelincir dan jatuh ke dalam gaung ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Taman Mawar, Sandakan, Sabah petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa yang berumur 70 tahun terjatuh ke dalam gaung dari ketinggian 6.09 meter ketika melakukan aktiviti mendaki seorang diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.20 petang.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa dibawa turun ke lokasi selamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, operasi tamat pukul 8.35 malam tadi.-Edisi 9

Budak 6 tahun rentung dalam kebakaran rumah

0

SEORANG kanak-kanak lelaki rentung manakala lima individu lagi melecur dalam satu kebakaran di Kampung Perpaduan di Kinabatangan, Sabah, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, mangsa rentung dikenal pasti sebagai Mohd Adlinsyah Mohd Adsni, 6.

Sementara, lima lagi mangsa iaitu ibu bapa dan adik-beradik kanak-kanak berkenaan berusia tiga hingga 43 tahun.

Dua lagi penghuni rumah berkenaan dilaporkan selamat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam.

“Sejurus itu enam anggota dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba operasi memadamkan api segera dijalankan.

“Selepas api berjaya dikawal pada 2.04 pagi, pemeriksaan menemui seorang kanak-kanak rentung di bilik.

“Lima lagi mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur lima hingga 70 peratus di badan,” katanya hari ini.

Ujar Nurul Azlan lagi, semua mangsa yang cedera dihantar Hospital Kinabatangan dan mayat mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebuah motosikal turut musnah dan rumah berkenaan hangus sepenuhnya.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.56 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

-EDISI9

Perkukuh keselamatan perairan Sabah, Sarawak elak ancaman

0

MALAYSIA perlu memperkukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya melibatkan pertahanan ketenteraan strategik.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, ini bagi memastikan negara berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.

Beliau berkata, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.

“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China, jadi kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut beliau, situasi sama turut dialami oleh negara ASEAN lain yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tenteranya bertindak terhadap negara lain sekiranya merasakan hak wilayah mereka terancam.

AHMAD HASSAN

“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga,” katanya.

Tambah Ahmad, China tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.

Malah China juga katanya, baru-baru ini menambah peruntukan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.

Menurutnya lagi, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.

“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.

“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.

Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan Malaysia mencontohi negara-negara lain yang sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.

Malaysia katanya, wajar melakukan tindakan sama dengan mempertingkat dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).

Tegas beliau, adalah malang bagi Malaysia apabila projek kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak enam buah yang bernilai RM9 bilion mengalami kelewatan dan masih belum siap sehingga kini.

“Ini menunjukkan negara kita tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim dengan kontroversi melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting itu.

“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu sektor perikanan.

“Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam isu ini dan akan berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi,” katanya.

Ahmad turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang hanya menumpukan keberadaan ketiga-tiga aset tentera di sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.

Tindakan sama katanya, harus dilaksanakan di Sabah yang turut berhadapan ancaman maritim malah kawasannya lebih meluas kerana berdekatan dengan negara jiran Filipina.

“Kenapa Sabah dianaktirikan dan kenapa Menteri Pertahanan hanya berjanji kepada Premier Sarawak untuk tingkat keberadaan tentera tetapi tidak kepada Ketua Menteri Sabah? atau kerana Sabah tidak sepenting Sarawak?.

“Atau keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu tingkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.

“Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad turut meminta Malaysia supaya mengambil peluang kesediaan China yang baru-baru ini mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

Malaysia katanya, harus bersuara lantang bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat.

“China mesti melihat Malaysia sebagai sebuah negara Asean yang kuat serta tidak akan mengambil mudah terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan dan kekal tegas bahawa wilayah kita mesti kekal berdaulat.

“Sebarang tindakan mengganggu-gugat keselamatan perairan negara tidak akan diterima begitu sahaja, jika China mahu kekal mesra dengan negara-negara Asean yang lain, mereka harus setuju dengan syarat-syarat yang kita ada.

“China mesti hormat kedaulatan kita sebagaimana kita hormati kedaulatan wilayah mereka dan sebarang senario yang boleh mengakibatkan perang di rantau ini tidak akan beri manfaat kepada kita atau mana-mana negara Asean lain,” katanya.

Malaysia juga jelas beliau, perlu berdiri teguh bersama negara Asean lain untuk mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mengalami nasib sama seperti Ukraine yang diceroboh Rusia sebagai sekutu kuat China.

“Tindakan Rusia yang mendapat sokongan langsung China itu memberi bayangan bahawa mereka cenderung mengambil tindakan sama sekiranya menghadapi senario serupa di rantau Asean ini.

“Justeru, aspek keselamatan perairan kita harus diperkukuhkan termasuk meningkatkan aset ketenteraan bagi memastikan Malaysia tidak kelihatan lemah pada persepsi negara lain,” kata Ahmad. – Edisi 9

Ahmad Maslan harap Najib diberi keadilan

0

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengharapkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diberi keadilan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu turut berharap pasukan pembelaan Najib akan melakukan yang terbaik dan mempunyai masa yang mencukupi.

“Semoga pasukan pembelaan beliau akan melakukan yang terbaik. Diharap mereka cukup masa. Bersama kita mendoakan.

“Diberitakan beliau akan memberi 94 alasan mengapa dua mahkamah telah terkhilaf dalam membuat keputusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Mahkamah Persekutuan hari ini akan mendengar rayuan Ahli Parlimen Pekan itu bagi membatalkan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Persekutuan menetapkan selama sembilan hari mulai Isnin untuk mendengar rayuan Najib supaya dibebaskan dan mengetepikan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes berkenaan.-Edisi 9

Atlet SUKIPT pecah rekod kebangsaan dapat habuan RM20,000

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada mana-mana atlet yang menyertai Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan berjaya memecah rekod kebangsaan.

“Hari ini, saya juga ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2022, untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun.

“Mereka yang berjaya, kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000,” katanya ketika berucap merasmikan temasya SUKIPT di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan timbalannya Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata, sukan bukan hanya untuk kesihatan tetapi juga mengajar kita tentang disipilin, semangat berpasukan, strategi, membuat keputusan dan seterusnya mampu menyemarakkan semangat patriotisme serta perpaduan dalam Keluarga Malaysia.

“Lihat sahaja ketika ada perlawanan bola sepak atau badminton, lebih-lebih lagi yang di peringkat dunia tanpa mengira kaum dan agama – kita duduk semeja bersama rakan-rakan di restoran untuk bersorak menyokong pasukan negara,” katanya.

Beliau berkata, hakikatnya sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bertanding, tetapi juga kepada yang menonton.

“Baru-baru ini, tular di media sosial tentang kisah jurulatih badminton negara, Hendrawan yang telah memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komenwel 2022 agar pemain Jamaica itu boleh meneruskan permainan,” katanya.

Malah katanya sikap pesilat Malaysia, Siti Shazwana Ajak juga dipuji selepas dia menutup rambut pesilat Indonesia, Selly Andriani selepas tudungnya tertanggal semasa mereka berdua beraksi pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu.

“Dengan semangat yang tinggi, persaingan tidak menjadi isu. Semangat inilah yang perlu ada dan menjadi salah satu teras dalam Keluarga Malaysia iaitu Keterbukaan,” katanya. – Edisi 9

Bubar Parlimen apabila kajian sikap pengundi sebelahi BN – PM

0

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika laporan kajian sikap pengundi oleh Wanita Barisan Nasional (BN) memihak kepada parti itu.

Menurut Perdana Menteri, kajian oleh Wanita BN selalunya tepat dan beliau mempertanggungjawabkan sayap parti itu untuk menjalankan kajian tersebut, bukan hanya kepada penyokong BN tetapi juga penyokong gabungan lain dan pengundi atas pagar.

Ismail Sabri yang juta Naib Presiden UMNO berkata, langkah berkenaan bagi mengetahui kekuatan BN pada PRU-15 dan memastikan gabungan itu menang dan memerintah kerajaan sepenuhnya.

“Bukan saya tak percaya pada yang lain, tetapi laporan kajian oleh Wanita ini memang selalunya tepat, dan jika saya terima laporan lengkap kajian sikap Wanita (BN) yang mengatakan BN akan menang (PRU-15) saya akan bubarkan Parlimen.

“Sebab itu, saya bagi tanggungjawab kepada Wanita komponen juga untuk lakukan kajian sikap ini, bukan hanya Wanita UMNO, kerana tujuan kita PRU kita nak menang dan memerintah, jika laporan meyakinkan, saya akan berbincang dengan ‘top five’ untuk bubarkan Parlimen,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas slot Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, data kajian sikap secara menyeluruh bakal menjadi rujukan bagi memastikan BN tidak memasuki medan perang tanpa strategi yang tersusun dan rapi.

Pada masa yang sama Ismail Sabri mahukan agar Wanita BN menjadi lidah kerajaan untuk menyampaikan maklumat tepat kepada akar umbi.

Kata Perdana Menteri, banyak fakta telah dikelirukan oleh pihak pembangkang dan menjadi peranan jentera Wanita untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

“Dalam PRU bukan emosi yang akan tentukan kemenangan tetapi fakta. Hari ini, kita lihat tekanan kepada kerajaan semakin bertambah. Yang penting bagaimana kita jawab, jangan kita biar tanpa menjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kekuatan Wanita BN perlu diperkukuhkan untuk menghadapi senario politik yang semakin mencabar.

Malah, Wanita BN juga diingatkan agar tidak sekali-kali memandang rendah akan kebolehan lawan.

Ismail Sabri turut mengingatkan agara Wanita BN l bergerak secara berpasukan bersama-sama Wanita-wanita parti komponen yang lain bagi menampakkan kesepakatan serta kekuatan parti di mata rakyat.

“Gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) perlu diperkasakan dan seiring dengan perkembangan teknologi, Wanita BN perlu pandai menyesuaikan cara untuk mendekati pengundi dan tidak lagi hanya bergantung kepada cara tradisional,” katanya.

Sebaliknya menurut beliau, JR juga perlu menguasai sepenuhnya media sosial agar menyampaikan mesej-mesej dan agenda kerajaan kepada pengundi terutamanya golongan muda.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap Wanita BN kerana anda semua adalah denyut nadi BN yang sentiasa berjuang di barisan hadapan mahupun di sebalik tabir.

“Kita mahu BN menjadi satu-satunya harapan rakyat bagi tahun-tahun yang mendatang kerana sudah terbukti BN sahaja yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” tegasnya.

-EDISI9

Dakwaan ekonomi Malaysia tenat, pelabur lari adalah tersasar

0

SEBARANG dakwaan mengatakan bahawa ekonomi Malaysia tenat, atau pelabur lari dan sebagainya, amatlah tersasar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata, kerajaan di bawah Perdana Menteri dari Barisan Nasional (BN) dibantu oleh jentera dari parti itu telah dididik dengan cara dan budaya yang mementingkan rakyat membolehkan ekonomi negara lebih terpelihara.

Bagaimanapun menurut beliau, perkara itu bukanlah alasan untuk mendabik dada.

“Cabaran dijangka terus hebat. Tekanan inflasi sedunia juga dirasai di Malaysia. Saya selaku Perdana Menteri tidak boleh selesa hanya dengan angka pelaburan, KDNK dan sebagainya jika rakyat tidak merasai nikmat kek ekonomi dengan saksama.

“Maka sebab itu, saya tidak teragak-agak melakukan keputusan-keputusan drastik demi memastikan kesan inflasi pada tahap minima,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian dalam slot Bicara Hati Perdana Menteri sempena Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, telah membelanjakan subsidi dan bantuan tunai hampir RM80 bilion iaitu angka paling besar dalam sejarah.

Menurutnya, walaupun sesetengah keputusan dilihat kontroversi tetapi jika ia membantu rakyat, maka itulah keputusan yang tepat.

“Contohnya, hari ini harga ayam juga telah turun di bawah paras harga siling. Walaupun inflasi berlaku di Malaysia tetapi angka inflasi 3.4 peratus adalah yang paling rendah di Asia Tenggara,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, tanpa campur tangan kerajaan tidak mustahil angka tersebut boleh melonjak tiga atau empat kali ganda.

“Ini yang saya sebutkan tadi. Saya dididik dengan cara dan budaya UMNO dan BN. Kita tidak teragak-agak melaksanakan keputusan yang berani dan tegas selagi ia membantu rakyat. Itu cara parti kita sejak turun temurun. Itulah juga cara saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini juga mewarisi semua masalah yang telah dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

“Ini bukan perkara yang mudah namun saya yakin dengan keupayaan wakil-wakil menteri BN kita yang ada dalam Kabinet hari ini untuk melakukan yang terbaik buat rakyat,” katanya.

-EDISI 9