Friday, June 5, 2026

Batuk kokol: 132 kes, 2 kematian direkodkan di Malaysia

Kerajaan teliti keperluan beri vaksin batuk kokol kepada ibu mengandung

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 132 kes pertusis atau batuk kokol dengan dua kematian yang berpunca daripada penyakit itu direkodkan di negara ini sehingga 28 April lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, terdapat penurunan kes sebanyak 73.3 peratus atau 495 kes berbanding tempoh sama pada 2019.

“Daripada 132 kes yang dilaporkan, 89 kes atau 67.4 peratus adalah warganegara manakala 43 kes (32.6 peratus) lagi merupakan bukan warganegara. 

“Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8 peratuas). 

“Kanak-kanak berumur di antara satu hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin disebabkan bakteria Bordetella Pertussis yang menyebabkan penyakit itu menjangkiti mulut, hidung dan tekak dan tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Katanya, imunisasi merupakan langkah pencegahan pertusis yang berkesan. 

“Di Malaysia, vaksin pertusis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Wabak pertussis dalam komuniti bole dicegah dengan memastikan liputan imunisasi sentiasa melebihi 95 peratus setiap masa.

“Kebanyakan kes di negara ini adalah dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis (Tap) kepada ibu hamil. 

“Ibu hamil yang menerima vaksin ini dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan