PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan, baginda akan terus bersuara demi kepentingan bola sepak Malaysia.
Rata-rata peminat bola sepak menyangka baginda tidak akan lantang bersuara mengenai bola sepak susulan ucapan Hari Raya baginda dalam program Nadi Weekend baru-baru ini.
Baginda menyifatkan ucapannya itu sebagai meraikan suasana Hari Raya Aidilfitri selain menandakan permulaan baharu kepada semua termasuk para penyokong.
“Masa saya ditanya ada tak apa-apa pesanan kepada penyokong bola sepak tempatan sempena Hari Raya.
“Saya jawab Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua penyokong dan juga kepada mana-mana pihak yang tersinggung,” titah baginda melalui hantaran di Instagram Storynya.
Kata TMJ ucapannya itu tidak bermakna baginda merasa kesal dalam memperjuangkan isu bola sepak negara.
“Tetapi ia bukan bermakna saya kesal atau akan berhenti bersuara berdasarkan fakta dalam hal ehwal atau senario bola sepak tempatan.
“Saya akan terus bersuara dan memberi pandangan tentang industri bola sepak negara,” ujarnya. – Edisi 9

