Friday, July 24, 2026

Ka Siong kongsi kisah adik-beradik ibu berlainan agama

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HUBUNGAN adik-beradik tetap akan kekal berpanjangan serta penuh kasih-sayang walaupun masing-masing berbeza agama serta kepercayaan.

Keutuhan hubungan adik-beradik berbeza agama itu dikongsikan sendiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, ibunya Chong Siw Lan dan adik kandung bongsu ibunya, Junaidah Ibrahim tetap mesra walaupun berbeza agama.

Menceritakan kisah kedua beradik itu, Ka Siong berkata, ibu dan ibu saudaranya berpisah sejak kecil lantaran kerana kemiskinan menyebabkan mereka dipelihara oleh ibu angkat berbeza.

“Atas faktor kemiskinan, kedua-dua mereka telah diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan di mana ibu saya menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga Cina yang menetap di estet manakala adik kandung bongsu ibu diserahkan kepada keluarga Melayu.

“Akan tetapi, jarak dan perbezaan agama tidak memisahkan mereka dengan semua adik-beradik kandung yang lain. Syukur, mereka ditemukan semula setelah terpisah buat beberapa dekad lamanya,” katanya semalam.

Ujar Ka Siong lagi, hubungan adik-beradik tetap kekal abadi, bagai air yang mengalir dicincang tak putus.

“Hari ini (semalam), Makcik Junaidah dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya di Tangkak.

“Ahli-ahli keluarga terdekat kepada 16 orang adik-beradik semua turut hadir meraikan hari istimewa ini. Mudah-mudahan hubungan akrab ini terus erat terjalin sampai bila-bila.

“Selamat pengantin baru kepada pasangan pengantin, semoga terus berbahagia sehingga ke akhir hayat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan