31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima wang haram RM5 juta

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta.

Muhyiddin, 75, yang juga merupakan Presiden Parti Peribumi Bersatu (PPBM) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah,” kata Muhyiddin. 

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai Presiden PPBM menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti berkenaan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

“Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana serta tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen tersebut sudah ditetapkan pada 26 Mei ini,” katanya.

Advertisements

Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili Muhyiddin, Datuk K. Kumaraendran.

Rozilah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur).

Pada 10 Mac lepas Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin turut diwakili peguam Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohamad Isa Mohamad Basir, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang memakai sut lengkap berwarna hitam tiba di mahkamah pada 8.20 pagi ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan