Friday, June 5, 2026

Mansuh PTPTN: Takkan tanya pun koyak – Wan Ahmad Fayhsal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan beliau sekadar bertanya mengenai bilakah program pemansuhan hutang  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan miskin dan B40 akan mula diperkenalkan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli telah menuduhnya mengelirukan dewan.

Sedangkan menurutnya, beliau menyatakan kebenaran seperti yang termaktub dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menghapuskan hutang PTPTN.

“Kerajaan sekarang ni, asal terciduk nak ambil tindakan. Takkan tanya pun koyak. Jangan tindas kebebasan bersuara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Rafizi menyatakan akan mengusulkan supaya Wan Ahmad Fayhsal dirujuk kepada Jawatankusa Hak dan Kebebasan kerana membuat kenyataan mengelirukan Dewan.

Mohd Rafizi berkata, dakwaan Wan Ahmad Fayhsal manifesto PH PRU15 ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN adalah tidak benar.

“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ini (ada janji) menghapuskan PTPTN.

“Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.

“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta Dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.

Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

Terdahulu sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, Wan Ahmad Fayhsal meminta Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin menyatakan bila program pemansuhan hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan B40 akan mula diperkenalkan.

“Adakah kerajaan ada iltizam politik untuk memansuhkan hutang PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH baru-baru ini?

“Sekarang ini pun, saya maklum Pandan (Rafizi) pejuang tegar PTPTN dan Hang Tuah Jaya (Adam Adli Abdul Halim) aktivis yang benar-benar ingin perjuangkan PTPTN untuk anak muda, adakah ada tempoh masa strategi sebenar?” kata Wan Ahmad Fayhsal.

-EDISI9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan