31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pasukan kerja rangka Kertas Putih, perolehan vaksin COVID -19

Kertas Putih ini akan meneliti tatacara pengurusan perolehan vaksin COVID-19 yang dilakukan demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan satu pasukan kerja khas bagi merangka Kertas Putih yang bakal memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin COVID-19.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penubuhan pasukan berkenaan adalah susulan daripada keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 18 Januari lalu.

“Kertas Putih ini akan meneliti tatacara pengurusan perolehan vaksin COVID-19 yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

“Ini berikutan penemuan awal oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjalankan ‘due diligence secara terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Sehubungan dengan itu, menurut Dr. Zaliha, bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin COVID-19 di bawah kementerian tersebut dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal balik kepada kerajaan.

Terdahulu, pada 8 Februari lalu media melaporkan KKM akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin COVID-19 serta kos berkaitan yang dikesan tidak mengikut peraturan pada sidang Parlimen yang akan berlangsung bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, menteri terlibat dipercayai telah menandatangani pembelian vaksin ketika tempoh pandemik bagi tujuan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICk) tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan