25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Wisma Jakel : Bomba fokus unsur sabotaj, sisa bara api

Orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UNSUR perbuatan bakar dan sisa bara api menjadi fokus utama siasatan bomba Selangor susulan kebakaran terbaru di bilik simpanan kain langsir Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, siasatan turut akan dilakukan dengan melihat kepada semua aspek dan dikaji secara mendalam agar maklumat menyeluruh dapat diperoleh.

“Siasatan terperinci itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari.

“Tempoh itu meliputi pelbagai aspek yang perlu kami analisa selepas pemeriksaan menyeluruh dibuat.

“Mungkin bara-bara yang tertinggal atau ada sesiapa yang naik melakukan pembakaran.

“Aspek-aspek lain juga akan dilihat dan dikaji secara mendalam. Setakat ini belum ada lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian kebakaran di Wisma Jakel, hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya hari ini turut menggerakkan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu dua ekor anjing jantan dari baka English Springer Spaniel bernama Woody dan Rocco untuk mengesan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Sampel dan sebagainya kami akan hantar ke makmal penyiasatan kami di Bukit Jelutong untuk dianalisa.

Advertisements

“Selain itu, aspek pendawaian dan peralatan elektrik yang digunakan oleh bangunan Wisma Jakel juga akan turut dianalisa,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya hari ini mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan menempatkan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang.

“Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.

“Bomba dengan dibantu pekerja Jakel akan menjalankan kerja-kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik yang terselamat daripada premis Wisma Jakel mulai hari ini,” katanya.

Hari ini, Wisma Jakel di Seksyen 7 mengalami kebakaran kali kedua apabila bilik simpanan kain langsirnya terbakar tengah malam tadi.

Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Jan lepas – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan