AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan berhubung peruntukan kerajaan bagi ahli-ahli Parlimen pembangkang yang didakwa tidak diterima.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau tidak mahu mendengar penjelasan daripada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah yang dianggap tidak layak untuk menjelaskan isu tersebut.
“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan daripada Perdana Menteri.
“Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya hari ini.
Shahidan sebelum ini mempesoalkan kepada kerajaan pimpinan Anwar berhubung peruntukan bagi ahli-ahli Parlimen yang belum diterim oleh pihak pembangkang.
Ini berikutan, beliau mendapat maklumat bahawa semua ahli Parlimen kerajaan sudah memperolehnya.
“Tetapi sehingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada ahli Parlimen kerajaan turut diterima pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil.
“Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya.
Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023. – Edisi 9