PENYAMBUNG empayar Sendayu Tinggi, Noor Hayati Kamarzaman atau lebih dikenali sebagai Yatie memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai pembantu rumah ibu mentuanya yang bernama Citra.
Yatie dalam hantaran di Facebook menyatakan pembantu rumah tersebut bersama beberapa rakan telah merompak serta melarikan barangan kemas bernilai RM300,000.
“Pihak polis dan CSI pun tengah mencari. Mohon sebarkan jika ada ternampak suspek di mana-mana. Setiap pemberian saya pada pekerja bukan untuk diungkit-ungkit.
“Banyak juga jasa mereka menjaga keluarga saya. Tapi bila anasir luar datang, meracun fikiran sehingga hilang waras akal fikiran,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Yatie berharap orang ramai dapat mendoakan agar pembantu rumahnya itu dapat segera ditangkap.
“Alhamdulillah banyak info kami dapat. Doakan Citra tertangkap. Terima kasih semua yang sudi share di group atau laman sosial masing-masing. Allah sahaja yang mampu membalasnya ,” katanya.
Selain itu, Yatie sempat memberikan nasihat kepada pembantu rumahnya itu serta kenalan pembantunya itu.
“Untuk Citra atau kenalan kamu jika baca post (hantaran) saya, ingat setiap perkara yang kita buat akan dapat kifarah dan tak berkat.
“Nilai RM300,000 yang kamu rompak dengan kawan-kawan kamu akan membawa bala pada diri, keluarga dan anak kamu.
“Mohon followers (pengikut) saya yang di Indonesia sampaikan pada keluarga Citra apa sudah anaknya buat. Padahal keluarga Citra sudah selalu video call sama @yah_rojak. Kasihan sama keluarga dan anaknya,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga 10.55 malam ini, masih belum terdapat sebarang kenyataan media dari pihak berkuasa berhubung kes tersebut.
-EDISI9