25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pembantu rumah, sektor pekerjaan yang tidak dipandang

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh NUR FATIMAH ZAHRAA’ MUHADZIR

WALAUPUN rakyat Malaysia kini berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan akibat kesan pandemik Covid-19, namun masih ramai dalam kalangan mereka yang memilih kerja.

Salah satu sektor pekerjaan yang tidak dipandang oleh rakyat tempatan ialah perkhidmat domestik atau dipanggil pembantu rumah.

Keadaan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dikuasai oleh warga asing khususnya dari Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Salah satunya kerana pekerjaan ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Hal ini kerana pembantu rumah perlu mendengar dan patuh setiap arahan yang diberikan oleh majikan mereka tanpa membuat sebarang bantahan.

Pembantu rumah perlu melakukan kerja yang banyak setiap hari seperti memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan lain-lain.

Jadinya, mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk berehat.

“Kerja yang membosankan, tiada masa hadapan dan tiada masa bersosial”.

Itu antara kata-kata yang sering diluahkan bagi menggambarkan situasi kerja sebagai pembantu rumah sehingga ia gagal menarik minat ramai golongan muda tempatan menceburinya.

Pekerja pembantu rumah juga tidak diberikan perlindungan insurans, Perkeso dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, pekerjaan ini juga tidak mengikut prinsip undang-undang buruh atau pekerja lain. Mereka boleh diberhentikan pada bila-bila masa sahaja oleh majikan jika melakukan kesilapan, misalnya.

Gaji yang rendah juga merupakan salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada kurangnya minat masyarakat tempatan untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Mereka beranggapan bahawa gaji sebagai pembantu rumah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerjaan yang lain misalnya dalam sektor perkilangan.

Oleh yang demikian, mereka lebih berminat untuk bekerja di kilang-kilang yang menawarkan gaji yang lebih tinggi.

Advertisements

Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

Di samping itu, tahap pendidikan masyarakat tempatan yang tinggi juga tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini.

Malahan, mereka mampu untuk memperoleh pekerjaan yang lebih tinggi dan baik demi masa depan.

Malah dari pandangan kaca mata Islam, kita digalakkan supaya gigih mencari rezeki dan kesenangan dunia dan hal itu telah lama dikhabarkan seiring dengan kedatangan Islam dahulu.

Kekayaan dan kesenangan hidup bukan sahaja dapat memberi jaminan masa depan yang baik, malah ia mampu menjadi penyumbang utama dalam memakmurkan umat Islam.

Oleh itu, rakyat tempatan perlu bijak mencari peluang lain bagi memenuhi kehendak masing-masing.

Pasaran kerja kini lebih bersifat dinamik ekoran perubahan pesat dalam penggunaan teknologi terkini serta kepelbagaian keperluan oleh majikan.

Namun, hakikatnya pembantu rumah sebenarnya bukanlah satu pekerjaan yang hina seperti tanggapan sesetengah pihak.

Pekerjaan ini juga halal di sisi agama dan sesiapa yang bekerja keras akan mendapat hasilnya kelak.

Ini sejajar dengan perintah Allah di dalam surah At-Taubah ayat 105, yang bermaksud:

“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Kesimpulannya, pihak yang bertanggungjawab perlulah mengambil langkah untuk menarik minat rakyat tempatan menceburi dalam sektor pembantu rumah.

Ini termasuk menawarkan gaji yang lebih setimpal, membuat caruman KWSP dan perlindungan Perkeso serta yang penting melayani pembantu rumah sepertimana pekerja lain di pejabat.

Jika kerajaan boleh bersetuju dengan kaedah one maid one task untuk pembantu rumah dari Indonesia, sepatutnya amalan itu juga dilaksanakan bagi semua pembantu rumah lain termasuk anak tempatan.

Pembantu rumah adalah pekerja, bukan hamba!

  • Penulis adalah pelajar Semester Pertama, Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan