PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak menunaikan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Ismail Sabri berharap rakyat dapat membuat pilihan tepat.
“Saya memilih untuk bekerja demi kepentingan rakyat dan negara. Pilihlah parti yang menumpukan kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.
Hari ini, seramai 20,853,681 pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 8,958 pusat mengundi dan 38,348 tempat mengundi (saluran) akan dibuka.
Malah, SPR juga berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.
Bagi memudahkan proses pengundian, pengundi disarankan membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. -Edisi 9

