NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mengesahkan bahawa Perikatan Nasional (PN) telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian gabungan parti itu yang menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, penolakan PRU-15 itu diadakan tahun ini bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, terutama dalam menghadapi musim tengkujuh.
“Saya boleh sahkan memang kami menteri daripada PN sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya tidak dilaksanakan PRU pada masa terdekat.
“Apa yang paling penting kita dalam kerajaan ingin menumpukan kepada perkara berkaitan kebajikan rakyat. Dalam masa yang ada ini, kami dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), banyak perkara ingin diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Radzi berkata, surat tersebut telah diutuskan semalam bagi menyatakan pendirian parti-parti PN/
Ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimaklumkan mengenai warkah yang diutuskan tersebut, Radzi berkata:
“Dah keluar berita mungkin aware-lah kot. Ini adalah pendirian menteri PN. Itu pendirian parti,” katanya.
Beliau berkata, dalam mesyuarat Kabinet, menteri-menteri PN telah menyuarakan pandangan bahawa keutamaan diberikan untuk menghadapi banjir dan bukannya PRU-15.
“Perlu diingat dalam Kabinet ini mempunyai komposisi yang bukan macam dulu, jika dulu semua menterinya adalah daripada Barisan Nasional (BN) , sebab itu dalam konteks ini kita tetapkan pendirian parti kita.
“Kalau UMNO ada pendirian untuk laksanakan PRU-15, dah tak sabar dah, pendirian kita jelas iaitu rakyat diberikan keutamaan dan kita ingin jelaskan kepada rakyat pendirian kita.
“Kita bersama-sama dengan rakyat pastikan perkara-perkara yang harus diberi keutamaan terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu berkata, pihaknya telah menerima senarai nama calon dicadangkan oleh Bahagian Bersatu di seluruh negara untuk bertanding dalam PRU-15 nanti.
Nama-nama tersebut, jelas beliau, sedang ditapis, dilihat dan diteliti sebelum parti membuat keputusan berhubung calon yang akan bertanding nanti.
Katanya, bilangan kerusi akan ditandingi juga bergantung kepada keputusan parti.
“Banyak kriteria yang ditetapkan tetapi paling penting calon yang bersih dan berintegriti selaras matlamat serta objektif parti memperjuangkan sebuah negara yang penuh integriti, cekap pemerintahan dan mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya.
Radzi berkata, pihaknya juga mempertimbangkan permintaan sayap wanita untuk meletakkan 30 peratus golongan tersebut sebagai calon dalam PRU-15. – Edisi 9

