26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

KPM perlu pendekatan baharu atasi kebosanan belajar Sejarah

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh MOHD FAUZI FADZIL

PEMBENTANGAN laporan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini telah mengejutkan banyak pihak.

Di sebalik kejayaan membanggakan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 yang mencapai keputusan cemerlang namun terdapat sekitar 10 peratus daripadanya yang boleh dianggap gagal.

Laporan oleh KPM menyaksikan daripada 407,097 calon SPM secara keseluruhan dengan 12 peratus mendapatkan sijil kerana gagal matapelajaran wajib manakala 17 peratus pula gagal mata pelajaran Sejarah.

Lebih menyedihkan terdapat 6 peratus calon SPM yang tidak hadir peperiksaan langsung. Keadaan ini sungguh membimbangkan kerana ia dapat dimanifestasikan kepada kecenderungan kira-kira 10 peratus calon SPM untuk gagal dan tidak menyukai matapelajaran Sejarah.

Pujian patut diberikan kepada KPM kerana terus tegas untuk mempertahankan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Kegagalan golongan belia untuk sekurang-kurangnya memahami sejarah (melalui mata pelajaran yang diajar di sekolah) bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan.

Keadaan di mana golongan belia bukan sahaja gagal dalam mata pelajaran Sejarah malah tidak hadir untuk menduduki peperiksaan (dalam konteks SPM) menjadi hujah sesetengah pihak bahawa mata pelajaran tersebut membosankan.

Namun jika dilihat daripada sudut pandangan berbeza, tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah menyangkal hujah bahawa golongan belia tidak sukakan sejarah.

Advertisements

Kehadiran golongan belia dengan busana tradisional untuk menonton filem tersebut menunjukkan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jatidiri mereka.

Di sebalik keghairahan golongan belia meraikan tayangan filem tersebut, terdapat segelintir daripada mereka yang gagal dalam matapelajaran Sejarah.

Keadaan ini dapat ditafsirkan sebagai kegagalan untuk membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari Sejarah secara akademik, namun minat dan kecenderungan sebenar golongan belia terhadap sejarah dan jati diri mereka di luar konteks akademik adalah sangat tinggi.

Memandangkan KPM sedang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah, dicadangkan agar usaha dilakukan bagi sebuah pendekatan pengajaran dibangunkan untuk guru-guru mata pelajaran tersebut supaya penyampaian dan pengajaran mereka mampu menarik minat pelajar.

Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi sebuah pembelajaran yang mengingati tarikh-tarikh penting. Mata pelajaran tersebut sepatutnya menonjolkan sifat-sifat keperwiraan yang telah direkodkan oleh tokoh-tokoh yang terkandung di dalam lipatan sejarah.

Sejarah Melaka diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira-wira yang bermati-matian mempertahankan kota tersebut tidak pernah diketahui di dalam buku-buku sejarah.

Naratif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah perlu diperbetulkan, masyarakat menghormati pegawai-pegawai KPM yang bijaksana dalam merangka kurikulum mata pelajaran tersebut namun perlu diakui terdapat kelemahan cara pengajaran mata pelajaran

Sejarah terkini yang boleh diperbaiki. Majlis Belia Malaysia (MBM) sanggup bersama-sama KPM membantu menyumbang tenaga
dan idea untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Menjadi kepercayaan MBM bahawa mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai
sebuah negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

  • Penulis adalah Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) merangkap Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM
Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan