25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Wanita bawa anak saudara secara berbahaya ditahan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita ditahan polis di Kajang, Selangor susulan video tular dalam media sosial mengenai sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang membawa tiga penumpang dipercayai kanak-kanak secara berbahaya.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook berkata, pasukan Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman yang terdiri daripada pegawai dan anggota telah menjalankan risikan dan berjaya mengesan pemilik kenderaan tersebut yang beralamat di Kajang, Selangor.

“Kemudian pasukan ini telah menahan seorang wanita iaitu pemandu Perodua Alza dan hasil siasatan awal mengesahkan wanita ini yang memandu seperti di dalam video yang tular tersebut.

“Menurut wanita itu lagi, tiga orang kanak-kanak tersebut merupakan anak saudaranya yang tinggal di Klang,” katanya hari ini.

Kenyataan berkenaan turut menyatakan kejadian berlaku semasa wanita tersebut memandu di Jalan Reko, Kajang pada 25 Disember lalu.

Tangkap layar video rakaman aksi berbahaya kanak-kanak dalam sebuah kereta Perodua Alza yang tular beberapa hari lalu.

“Wanita itu ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya di mana siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiyaan, pengabaian ke atas kanak-kanak.

Advertisements

JSPT mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada netizen yang menyalurkan maklumat sebegini agar tindakan undang-undang boleh diambil kepada mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang di jalan raya.

Menurut kenyataan berkenaan, JSPT menyeru agar semua pemandu sentiasa mematuhi peraturan dan tidak sesekali membawa penumpang terutama kanak-kanak dalam keadaan yang berbahaya.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam, video berdurasi 14 saat memaparkan aksi tiga orang penumpang kenderaan yang duduk di tingkap dengan sebahagian kaki di dalam kenderaan yang sedang bergerak di lorong paling kanan.

Aksi berkenaan dirakam oleh pengguna jalan raya yang bimbang melihat aksi kanak-kanak tersebut kerana sangat berbahaya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan