26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Tubuh ‘Kabinet Perang’ fokus pemulihan negara, kata Zahid

Mesti Baca

CYBERJAYA – UMNO mencadangkan dibentuk sebuah ‘Kabinet Perang’ yang hanya memberi fokus proses pemulihan negara menghadapi pandemik COVID-19.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan itu, sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk tempoh yang munasabah.

“Sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik COVID-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri setelah hilang majoriti ekoran tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah 18 bulan mentadbir negara.

Advertisements

Tindakan ahli-ahli Parlimen UMNO diketuai Zahid itu dibuat kerana mendapati Muhyiddin dan kerajaan PN gagal menangani isu pandemik COVID-19 yang kini mencapai 20,000 kes positif sehari dan mengorbankan lebih 10,000 orang sejak tahun lalu.

Zahid berkata, bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

“Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” kata beliau.

Kenyataan itu dipercayai berkaitan tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menolak permohonan UMNO untuk menangguhkan persidangan agung parti itu untuk tempoh 18 bulan.

Mengenai jawatan Perdana Menteri, Zahid berkata, UMNO telah mengenal pasti beberapa calon untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan