25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Nazri Aziz buat kejutan kembali sokong Muhyiddin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Dalam kehangatan desas-desus Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO dipanggil pucuk pimpinan parti, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membuat kejutan besar dengan menyatakan beliau kembali menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memetik laporan Astro Awani hari ini, pengisytiharan terbaharu Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekali gus membatalkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin yang dibuatnya pada Januari lepas.

Mohamed Nazri membuat keputusan tersebut mengikut keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang hanya akan memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

“Januari lalu saya membuat pengumuman menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hari ini saya nak umumkan saya kembali memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin.

“Dengan keputusan ini, penarikan sokongan yang saya buat sebelum ini terbatal,” katanya kepada Astro Awani melalui perbualan telefon.

Pemimpin-pemimpin UMNO dilihat bercanggah pendapat dalam isu sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebahagian daripada mereka khususnya yang mempunyai jawatan dalam Kabinet hanya bersedia untuk berbuat demikian selepas Parlimen dibubarkan.

Advertisements

Sekumpulan yang lain pula mahu sokongan terhadap kerajaan PN ditarik segera dan pada masa yang sama, menolak kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

Situasi itu menyebabkan sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO dalam situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 28 Mac lalu, semua perwakilan sebulat suara bersetuju agar parti itu menarik diri daripada kerajaan PN,

Mereka menyatakan persetujuan apabila ditanya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa beliau menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet kerajaan PN bahawa pelantikan mereka diputuskan oleh parti.

Sebelum itu, dalam ucapan dasarnya, Ahmad Zahid memberitahu, penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan dalam 124 persidangan perwakilan UMNO bahagian.

Malah, katanya, sebanyak 147 daripada 191 ketua UMNO bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan