
PILIHAN raya merupakan medan paling jujur untuk mengukur tahap keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan. Tidak kira sehebat mana naratif dibina atau seagresif mana jentera berkempen, keputusan di peti undi akhirnya menjadi penghakiman sebenar.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini dan Johor semalam memberikan mesej yang jelas kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun setiap pilihan raya mempunyai faktor tempatan yang tersendiri namun pola kemerosotan sokongan terhadap parti-parti komponen PH baik PKR, DAP dan Amanah menimbulkan persoalan besar betapa parti itu semakin hilang daya tarikan yang pernah menjadi kekuatan utama mereka.
Anwar dan PH sebelum ini berjaya membina kekuatan politik atas satu perkataan yang begitu ampuh — harapan. Harapan kepada sebuah pentadbiran yang lebih telus, ekonomi yang lebih baik, kos sara hidup yang lebih rendah dan pembaharuan institusi yang menyeluruh. Harapan itulah yang menjadi asas kemenangan bersejarah mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 lalu.
Namun harapan yang gagal diterjemahkan boleh bertukar menjadi kekecewaan.
Apabila rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup, apabila isu percukaian terus menjadi polemik, dan apabila manfaat ekonomi dirasakan belum benar-benar sampai kepada rakyat kebanyakan, ruang untuk kerajaan mempertahankan naratif perubahan menjadi semakin sempit.
Dalam keadaan sebegini, pengundi lazimnya tidak lagi menilai janji sebaliknya mereka mahu melihat hasilnya. Apatah lagi dalam pola politik yang semakin berubah.
PRN Johor memperlihatkan satu lagi kelemahan yang wajar direnungkan. Sebahagian pengundi mungkin mengharapkan pertandingan idea mengenai masa depan negeri — bagaimana pelaburan hendak diperkasakan, peluang pekerjaan diwujudkan dan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan.
Sebaliknya, jika kempen lebih banyak berkisar kepada menyerang lawan politik berbanding menawarkan penyelesaian yang meyakinkan, maka amat sukar bagi PH untuk membina keyakinan baharu.
Lebih jelas wujudnya penolakan rakyat apabila melihat prestasi parti-parti komponen PH sendiri. PKR hanya memenangi satu kerusi di Sabah dan satu kerusi di Johor. Amanah turut sekadar memperoleh satu kerusi di Johor, manakala DAP menyusut kepada enam kerusi di negeri itu selepas gagal memenangi sebarang kerusi di Sabah.
Walaupun keputusan pilihan raya negeri tidak semestinya mencerminkan corak pengundian nasional namun trend ini tetap menjadi amaran yang tidak boleh dipandang ringan.
Cabaran terbesar Anwar bukan sekadar mentadbir negara, tetapi mengekalkan keseimbangan dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum, agama dan kepentingan.
Setiap keputusan kerajaan mempunyai implikasi politik yang berbeza kepada kelompok pengundi yang berbeza. Dasar yang memuaskan hati satu segmen mungkin mengundang rasa tidak puas hati dalam segmen yang lain.
Inilah dilema sebenar politik Malaysia sejak awal penubuhan negara merdeka. Malahan ia semakin mencabar dalam dunia yang semakin terbuka hari ini.
Jika kerajaan dilihat terlalu memberi perhatian kepada tuntutan sesuatu kelompok, ia berisiko kehilangan sokongan kelompok yang lain.
Sebaliknya, jika cuba memuaskan semua pihak, kerajaan mungkin dilihat tidak mempunyai pendirian yang jelas.
Mengimbangi kepelbagaian tuntutan inilah ujian paling sukar bagi mana-mana Perdana Menteri. Ia ibarat menarik benang dalam tepung. Benang perlu ditarik keluar tanpa putus, manakala tepung pula tidak boleh berselerak.
Hal ini menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan keberanian membuat keputusan yang kadangkala tidak popular.
Menjelang PRU-16, cabaran PH bukan lagi sekadar mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Sebaliknya, cabaran yang lebih besar ialah mengembalikan kepercayaan bahawa gabungan itu masih mampu membawa reformasi yang sebenar-benarnya dan diyakini rakyat bukan sekadar retorik dan seribu alasan.
Pengundi hari ini semakin pragmatik. Mereka tidak lagi memberi mandat berdasarkan slogan atau sentimen semata-mata tetapi sebaliknya berdasarkan prestasi yang boleh dirasai dalam kehidupan seharian mereka.
Harapan memang bernilai dalam politik namun nilainya hanya kekal jika disandarkan kepada pencapaian yang nyata.
Jika tidak, harapan akhirnya akan menjadi janji yang semakin sukar untuk dipercayai. Dan apabila keyakinan mula terhakis, peti undilah yang akan menjadi hakim terakhir. — Edisi 9

