APA sudah jadi dengan projek lencana Jalur Gemilang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM8.4 juta sebelum ini.
Pensyarah Kanan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, rakyat berhak mengetahui status projek tersebut sama ada mencapai sasaran atau sebaliknya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mendedahkan kajian impak ke atas projek tersebut sekiranya telah dibuat.
“Sudah dibuat kajian impak atau belum? Kalau sudah, berapa skor indeks patriotisme yang meningkat selepas lebih setahun program ini dilaksanakan?
“Berbaloikah impaknya dengan peruntukan RM8.4 juta yang disediakan? Eloklah dikongsikan hasil kajian itu di sidang Parlimen,” katanya hari ini.

Anuar turut mahu mengetahui sama ada projek tersebut akan diteruskan tahun hadapan atau sebaliknya.
“Sebagai rakyat, kita berhak bertanya kerana duit RM8.4 juta itu datangnya dari poket rakyat,” kata beliau.
Sebagai bandingan, Anuar berkata, jika RM8.4 juta itu digunakan untuk sediakan sarapan pagi RM5 kepada murid-murid miskin, lebih 1.6 juta murid dapat nikmati sarapan pagi.
“Kalau beri pada setiap sekolah 10,000 untuk pasang CCTV paling asas, lebih 800 buah sekolah dapat CCTV.
“Bayangkan kalau satu sekolah ada 1,000 murid, maksudnya 800,000 murid dapat manfaat keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, jika peruntukan itu digunakan untuk beli televisyen (TV) pintar dengan harga RM5,000 seunit, hampir 1,700 bilik darjah dapat dilengkapi dengan TV pintar 85 inci.
“Bayangkan dalam satu kelas 45 murid, maksudnya lebih 75,000 murid dapat kemudahan TV pintar. Itu baru setahun. Bila TV pintar itu digunakan selama lima tahun, maksudnya lebih 350,000 murid dapat faedahnya untuk pembelajaran,” katanya.
Untuk rekod, pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah dilaksanakan di semua institusi pendidikan di bawaj KPM sejak April 2025 lalu.
Langkah tersebut melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru (IPG) bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik. — Edisi 9

