KESEMUA 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan diharap tidak membuat pusingan-U berhubung penarikan sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut bagi memastikan integriti parti tidak terjejas.
Beliau berkata, alasan yang dibuat untuk menarik sokongan adalah kukuh dan tindakan itu juga wajar agar Negeri Sembilan tidak terheret dengan konflik yang berlarutan.
“Saya berharap 14 ADUN BN kekal dengan keputusan mereka untuk menarik sokongan daripada Menteri Beaqr Negeri Sembilan.
“Jika keputusan itu ditarik balik ia akan menyebabkan intergriti UMNO akan terjejas teruk,” katanya hari ini.
Mohd Puad berkata, UMNO mesti dilihat tegas, berprinsip, hormat pada adat, ikut perlembagaan, demokratik dan mengutamakan kestabilan.
Kata beliau, UMNO tidak boleh terseret dengan cara Aminuddin yang angkuh mahu terus menjadi Menteri Besar walaupun ia kerajaan minoriti.
Isnin lalu 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin kerana hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, ia berikutan kegagalan Menteri Besar menyelesaikan isu Institusi Adat dan perlembagaan negeri.
Bagaimanapun, dalam mesyuarat Biro Politik UMNO malam tadi, Jalaluddin dan kesemua 14 ADUN terbabit diminta meneruskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO Malaysia menghormati ADUN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar namun diminta terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. — Edisi 9

