Sunday, June 14, 2026

Syarifah Nur Anissa pecah empayar pertahanan didominasi lelaki

Perjalanan membina empayar perniagaan dalam sektor berisiko tinggi itu bukan sahaja menuntut kecekalan, malah memerlukan penguasaan teknikal serta keberanian...

Mesti Baca

DALAM dunia industri pertahanan yang sekian lama dikuasai lelaki, seorang wanita tempatan membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya membangunkan teknologi strategik berimpak tinggi menerusi dron pemintas berkelajuan tinggi dikenali sebagai ‘The Ghost’.

Pengarah Shah Maju Global Sdn. Bhd., Syarifah Nur Anissa Syed Shabahar kini dilihat antara tokoh wanita yang semakin menyerlah dalam sektor keselamatan dan pertahanan negara, sekali gus memecahkan persepsi lapuk terhadap peranan wanita dalam bidang teknikal.

Menurutnya, perjalanan membina empayar perniagaan dalam sektor berisiko tinggi itu bukan sahaja menuntut kecekalan, malah memerlukan penguasaan teknikal serta keberanian untuk bersaing dalam persekitaran mencabar.

“Industri ini sememangnya sinonim dengan lelaki, namun itu bukan halangan. Apa yang penting ialah konsistensi, ilmu dan keyakinan untuk terus ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menyertai DSA and NATSEC Asia 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di ibu negara hari ini.

SYARIFAH NUR ANISSA

Mengimbas perjalanan syarikatnya, beliau berkata, Shah Maju Global bermula secara kecil-kecilan dengan pembekalan beg juruterbang sebelum berkembang kepada peralatan navigasi dan seterusnya merangkumi pelbagai keperluan dalam rantaian bekalan industri pertahanan.

Katanya, pendekatan pembangunan secara berperingkat membolehkan syarikat itu memperkukuh kedudukan serta menawarkan penyelesaian lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Dalam pada itu, kemunculan ‘The Ghost’ mencuri perhatian penggiat industri apabila dron berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan.

Dron seberat kira-kira 650 gram itu mampu mencapai kelajuan sehingga 300 kilometer sejam (km/j), menjadikannya antara dron pemintas ringan terpantas dalam pembangunan tempatan bagi menangani ancaman dron musuh.

Dibangunkan oleh lima jurutera muda tempatan di makmal penyelidikan dan pembangunan di Wangsa Maju, ‘The Ghost’ mempunyai jarak operasi antara 10 hingga 15 kilometer serta mampu mencapai ketinggian maksimum lima kilometer.

Selain itu, ia dilengkapi keupayaan penerbangan sehingga 15 minit serta mampu membawa muatan sehingga 350 gram, manakala reka bentuk kompak dengan jarak roda 230 milimeter memberikan kelebihan dari segi kecekapan aerodinamik.

Menurut Syarifah Nur Anissa, dron berkenaan telah melalui beberapa siri ujian penerbangan dan simulasi dengan keputusan yang amat memberangsangkan.

“Projek ini kini bersedia memasuki fasa ujian kedua bersama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan untuk pertimbangan lanjut,” katanya.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 20 April lalu bertemakan ‘Memperkasa Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi’ itu menghimpunkan pemain industri pertahanan dari dalam dan luar negara. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan