AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memfokuskan kepada penerokaan pemodenan persenjataan bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan di perairan negara, selari dengan ancaman jenayah maritim yang semakin kompleks.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, keperluan itu bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keutamaan bagi memastikan kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap optimum.
“Persekitaran operasi kini jauh lebih mencabar dengan ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.
“Maritim Malaysia perlu bergerak seiring perkembangan teknologi bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan lebih berkesan dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara hari ini.
Menurut beliau, kehadiran Maritim Malaysia dalam DSA & NATSEC Asia 2026 bukan sekadar penyertaan program, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengenal pasti sistem persenjataan moden yang bersesuaian dengan keperluan operasi di zon maritim negara.
Katanya, dalam landskap semasa, keperluan Maritim Malaysia bukan sekadar meningkatkan keupayaan aset seperti kapal dan pesawat, tetapi turut memerlukan sokongan persenjataan dan teknologi yang relevan.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia kini meneliti penggunaan senjata non-lethal weapon termasuk electric gun sebagai sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan lebih fleksibel dan terkawal.
“Pendekatan penggunaan senjata berkenaan selaras dengan amalan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Maritim Malaysia turut menilai keperluan penggunaan senjata operasi (duty sidearm) bertaraf antarabangsa, khususnya bagi situasi berisiko tinggi seperti pemeriksaan vesel nelayan asing atau aktiviti jenayah rentas sempadan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin ketika berdepan situasi tidak menentu di laut.
Beliau menegaskan, fokus pemodenan Maritim Malaysia tidak terhad kepada penambahan aset semata-mata, sebaliknya melibatkan integrasi menyeluruh merangkumi persenjataan, sistem pemantauan serta elemen risikan.
“Ia bagi memastikan setiap operasi dilaksanakan secara responsif dan mampu menangani sebarang ancaman dengan pantas dan berkesan,” katanya.
Tegas Saiful Lizan, semua inisiatif yang dirangka turut mengambil kira aspek pematuhan undang-undang, keberkesanan operasi serta keselamatan anggota sebagai keutamaan utama agensi. — Edisi 9

