Friday, June 5, 2026

Khutbah Jumaat: Barakah di sepertiga malam

Namun cara manusia menguruskan malam mereka sangat berbeza. Ada yang menjadikan seluruh malam sebagai ruang untuk berehat, tidur dari awal hingga akhir.

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. 

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Barakah di Sepertiga Malam”.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Pesanan agar kita bertakwa kepada Allah SWT bukan sekadar pembuka khutbah, ia adalah peringatan hidup yang membangkitkan jiwa.

Tanpa takwa, perhimpunan kita pada hari Jumaat hanyalah rutin, tetapi dengan takwa, ia menjadi ibadah yang bernilai dan tinggi di sisi Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan kita gambaran mengenai hamba-hamba-Nya yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT, iaitu mereka yang mengambil sedikit daripada waktu malam untuk tidur dan beristighfar memohon keampunan pada penghujung malam, sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 17-18 yang bermaksud:

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja waktu malam mereka untuk tidur. Pada akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”.

Ayat ini bukan sekadar cerita tentang orang terdahulu. Ia adalah jemputan untuk saya dan para jemaah sekalian supaya kita dapat menghidupkan saat paling bernilai di sepertiga akhir malam iaitu waktu yang paling hampir kepada Allah SWT dan waktu berdoa yang paling mustajab.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Malam memang diciptakan sebagai waktu untuk kita berehat, mengumpul semula tenaga setelah seharian bekerja. Itu adalah fitrah.

Namun cara manusia menguruskan malam mereka sangat berbeza. Ada yang menjadikan seluruh malam sebagai ruang untuk berehat, tidur dari awal hingga akhir.

Tetapi ada juga golongan yang Allah SWT puji iaitu mereka yang hanya mengambil sedikit daripada malamnya untuk tidur dan mengorbankan selebihnya untuk sujud, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tuhan kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, turun (rahmat Allah) pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir malam.

“Lalu Dia berfirman: ‘Siapakah yang berdoa kepada-Ku, lalu Aku perkenankan baginya. Siapakah yang meminta kepada-Ku, lalu Aku memberikannya. Dan siapakah yang memohon ampun kepada-Ku, lalu Aku mengampunkannya.” — (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Muslimin yang berbahagia,

Inilah satu tawaran yang tidak pernah ditutup, bukan setahun sekali, bukan sebulan sekali, tetapi setiap malam, sehinggalah saat bumi ini dihancurkan.

Betapa beruntungnya hamba yang Allah SWT pilih dan berikantaufik untuk bangun meninggalkan tempat tidur, bersuci, berdiri di hadapan-Nya dalam qiyamullail, berdoa dan bermunajat memohon kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya iman itu bukan sekadar rasa atau angan-angan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 9:

“(Kamukah yang lebih baik) atau adakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri kerana takut akan (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah (kepadanya), “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui “Sesungguhnya hanya orang yang berakal sempurna yang dapat menerima pengajaran dan peringatan”.

Muslimin yang dikasihi Allah SWT,

Manusia secara fitrahnya suka dipandang baik oleh manusia lain, dipuji, dihargai dan diterima.

Tetapi, alangkah lebih manisnya jika Allah SWT sendiri yang menilai kita sebagai hamba yang baik.

Oleh itu, marilah kita meneladani amalan orang-orang soleh dengan melazimi qiyamullail.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu melakukan qiyamullail, kerana sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, penghapus bagi dosa-dosa, dan pencegah daripada melakukan kejahatan.” — (Riwayat al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa menghidupkan malam dengan solat, zikir dan munajat adalah sunnah Nabi SAW.

Bahkan ketika Baginda SAW tiba di Madinah, antara ucapan awalnya ialah seruan untuk menghidupkan malam.

Mengapa? Kerana ibadah malam dilakukan dalam suasana hening, dalam keadaan tiada gangguan, tiada riak, tiada perhatian manusia.

Itulah saat Allah SWT paling hampir dengan hamba-Nya. Itulah saat doa paling mudah menembusi langit.

Inilah hadiah besar daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang terjaga di waktu malam, walau hanya seketika.

Sesiapa yang bangun, menyebut nama-Nya kemudian memohon keampunan atau apa jua hajat, Allah SWT janjikan penerimaan.

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada kali ini, marilah bersama kita mengambil pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian:

1. Umat Islam hendaklah meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT melalui amalan zahir seperti berqiyamullail pada sepertiga akhir malam.

Hal ini kerana rahmat Allah SWT turun ke langit dunia pada waktu tersebut untuk memakbulkan segala permintaan dan mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya.

2. Umat Islam hendaklah meneladani orang-orang soleh, yang menjadikan qiyamullail amalan harian untuk membersihkan dosa dan menjauhkan diri daripada maksiat.

3. Umat Islam mestilah mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi untuk bangkit beribadah pada sepertiga akhir malam.

“Mereka menjauhkan (diri) mereka daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat tahajud dan amalan soleh), mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut (akan kemurkaan-Nya) dan ingin memperoleh (keredhaan-Nya) dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” — (Surah al-Sajdah: 16)


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 6 Januari 2026.

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan