Monday, July 20, 2026

Forum ‘Internet Selamat’ dan perasmian KIS sempena HKI 2026

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dijadual merasmikan Kempen Internet Selamat 2026 sebagai simbol komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.

Mesti Baca

KESELAMATAN internet bukan lagi isu teknikal semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh lapisan masyarakat. 

Atas kesedaran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua sempena sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur Ahad ini.

Forum yang bermula 2 petang itu akan dikendalikan oleh personaliti popular Ariz Ramli atau Caprice, sekali gus menjadi tarikan kepada golongan muda untuk mendekati isu keselamatan siber dalam suasana santai dan terbuka.

Diskusi panel turut menampilkan barisan pakar merangkumi SAC Siti Kamsiah Hassan dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM; Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Prof Madya Dr Mohd Al Adib, serta pengasas MN Amplified Marketing, Muhammad Noor (Madnor).

Mereka akan membincangkan cabaran dunia digital khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Pada sebelah pagi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dijadual merasmikan Kempen Internet Selamat 2026 sebagai simbol komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.

HKI 2026 disambut di lebih 170 negara seluruh dunia dengan matlamat memupuk penggunaan internet secara positif, beretika dan selamat, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada teknologi baharu.

Tema tahun ini, Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab, memberi penekanan kepada keperluan membuat keputusan digital yang bijak serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan etika.

Sepanjang hari, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk bicara santai, pertandingan e-sukan, pameran teknologi, reruai maklumat serta pameran interaktif keselamatan digital melibatkan syarikat teknologi global seperti Meta, TikTok dan Google.

Penyertaan syarikat-syarikat ini membuka ruang kepada orang ramai memahami dan mengaplikasikan ciri keselamatan dalam aplikasi harian mereka, sejajar usaha melindungi pengguna daripada ancaman siber.

Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan busking dan mini-konsert membabitkan barisan artis popular seperti Kaka Azraff, Insomniacks, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ismail Izzani dan Leaism, menjadikan sambutan HKI 2026 lebih inklusif dan mesra keluarga.

Selain itu, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut menganjurkan sesi khas bagi mendidik orang ramai mengenai ancaman penipuan dalam talian, kandungan berbahaya serta penggunaan ciri kawalan ibu bapa demi keselamatan anak-anak di alam digital.

MCMC berharap pendekatan berteraskan komuniti dan hiburan ini mampu menyampaikan mesej keselamatan siber secara lebih dekat, berkesan dan relevan dengan realiti digital masa kini.

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan