
Jemaah yang dirahmati Ilahi,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan mengerjakan setiap perintah serta menjauhi segala larangan Nya.
Sesungguhnya kemuliaan seseorang insan dinilai daripada ketakwaan; dan tiada bekalan yang lebih baik untuk akhirat melainkan takwa.
Memperingati peristiwa peralihan arah kiblat dari Baitulmuqaddis ke Masjidilharam yang berlaku pada bulan Syaaban, mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Satu Kiblat, Satu Umat”
Firman Allah SWT:

Bermaksud: Sesungguhnya Kami melihat wajahmu (wahai Muhammad) sering mendongak ke langit, maka akan Kami hadapkan mukamu ke kiblat yang kamu sukai. Maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah). Dan walau di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. — (Surah al-Baqarah ayat 144)
Kiblat umat Islam pada awalnya ditetapkan menghadap Baitulmuqaddis kerana Kaabah ketika itu dipenuhi berhala di kelilingnya.
Keadaan tersebut menjadikan orang Yahudi di Madinah bersifat megah, mengambil kesempatan memperleceh Nabi SAW; umat Islam dikatakan meniru cara beribadat orang Yahudi apabila menghadap ke Baitulmuqaddis ketika bersolat.
Sikap orang Yahudi tersebut membuatkan Nabi Muhammad SAW berasa tidak senang. Setiap hari Baginda berdoa agar Allah menurunkan wahyu untuk ditukarkan arah kiblat.
Setelah berada selama 17 bulan di Madinah, akhirnya Allah SWT mengabulkan doa Rasulullah SAW untuk menukar arah kiblat umat Islam dari Baitulmuqaddis ke Baitullah al-Haram di Mekah.
Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, peristiwa turunnya wahyu pertukaran arah kiblat berlaku pada 15 Syaaban tahun kedua hijrah; berlaku ketika Nabi SAW dan para sahabat sedang menunaikan solat di Masjid Bani Salamah atau dikenali Masjid Qiblatain.
Jemaah yang dimuliakan
Kiblat bermaksud arah menghadap Kaabah yang menjadi hala tuju umat Islam ketika menunaikan solat.
Kaabah adalah lambang penyatuan umat Islam di seluruh dunia; tetapi perlu diingati, Kaabah hanyalah lambang, berperanan sebagai arah tuju beribadat umat Islam, tanpa sebarang niat menyembahnya, kerana pengabdian umat Islam hendaklah tertumpu hanya kepada Allah yang Maha Esa.
Perintah menghadap kiblat bukan hanya sekadar tuntutan ibadah, tetapi mengandungi falsafah yang sangat mendalam; menggambarkan umat Islam meski berada di mana sahaja, memiliki arah tujuan yang sama, untuk mendapat reda Ilahi.
Kiblat merupakan lambang penyatuan, kebersamaan dan kekuatan ummah, selaras dengan tuntutan agama untuk ummah bersatu teguh berpegang kepada tali Allah.
Perintah menghadap kiblat membawa beberapa hikmah besar dalam pembinaan kesatuan ummah:
Pertama: Melambangkan kesatuan dan perpaduan ummah
Umat Islam sewaktu bersolat, menghadap arah kiblat yang sama tanpa mengira warna kulit, pangkat, mahupun kedudukan; menggambarkan kesatuan dalam Islam.
Satu kiblat mengingatkan umat Islam bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi sebab perpecahan.
Jika dalam solat kita boleh bersatu, maka dalam kehidupan bermasyarakat juga kita wajib mengutamakan penyatuan dan menghindari perbalahan yang boleh mencetuskan perpecahan lalu mengakibatkan ummah menjadi lemah.
Kedua: Ketaatan tanpa berbelah bahagi
Peristiwa perubahan arah kiblat dari Baitulmuqaddis ke Masjidilharam memperlihatkan ketaatan mutlak para sahabat terhadap perintah Allah SWT dan arahan Rasul Nya.
Mereka patuh dan menerima perintah tersebut tanpa mempertikaikannya. Sifat ketaatan seperti inilah yang membentuk kekuatan umat.
Jika umat Islam hari ini memiliki disiplin kepatuhan yang sama, nescaya maruah dan kegemilangan Islam akan kembali terserlah.
Ketiga: Membentuk kekuatan bersama
Umat Islam yang sehati dan sekata bersetuju menghadap arah yang sama ketika solat, membuktikan arah hati dan tujuan umat adalah sama.
Antara matlamat bersama yang wajib dipelihara ialah meninggikan syiar Islam, menegakkan keadilan, menjaga maruah dan kehormatan, membina negara yang aman lagi sejahtera, serta membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan.
Kesatuan arah inilah yang melahirkan kekuatan umat Islam, ibarat sebatang tubuh yang teguh dan tidak mudah digugat.
Jemaah yang dimuliakan,
Hari ini, meskipun umat Islam memiliki kiblat yang sama, tetapi diuji dengan perpecahan.
Umat Islam kini semakin berselisih, berpecah malah bermusuh kerana perebutan kuasa, perbezaan aliran politik yang membawa kepada pertelingkahan yang melampau, sikap mudah menghukum, serta budaya mengguna media sosial yang menyebarkan fitnah dan menyalakan api persengketaan.
Akhirnya kesatuan umat semakin rapuh dan umah semakin lemah. Ummah yang lemah akan memberikan kemenangan mudah kepada musuh, ibarat boleh meratah umat Islam bagai menikmati hidangan yang lazat; seperti yang digambarkan oleh Nabi SAW melalui sebuah hadis daripada Thawban RA; katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Hampir terjadi pelbagai bangsa datang mengerumuni kamu sekalian (umat Islam) bagaikan orang yang lapar datang mengerumuni hidangan makanan.” Seseorang bertanya: ‘Apakah disebabkan kami ketika itu sedikit bilangannya?’. Baginda menjawab: ‘Bahkan, kamu pada waktu itu ramai, namun kamu seperti buih air. Dan nescaya Allah akan mencabut daripada dada musuh kamu, rasa takut terhadap kamu, serta Allah akan melemparkan dalam hati kamu al-wahan.” Lalu seseorang bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah al-wahan itu?’ Baginda menjawab: ‘Cinta dunia dan takutkan mati’. — (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Sesungguhnya perpecahan pasti menatijahkan ummah yang lemah, menghilangkan izzah Islam, dan membuka ruang kepada musuh untuk memperleceh agama Allah.
Semoga kita dijauhkan daripada terlibat menjadi punca perbalahan dan perpecahan ummah.
Marilah kita hayati ibrah satu kiblat sebagai lambang untuk menyatukan hati mendukung satu perjuangan.
Jemaah Rahimakumullah
Mimbar mengutarakan empat peringatan berikut:
Pertama: Ummah hendaklah sentiasa bersatu atas dasar satu akidah dan satu kiblat yang sama.
Kedua: Kekuatan umat Islam dapat diterjemahkan melalui kesatuan hati sebagaimana kita semua sepakat beribadah menghalakan arah kepada satu kiblat yang sama
Ketiga: Perpecahan dalam kalangan umat Islam sangat merugikan dan melemahkan usaha untuk memperkukuhkan Islam.
Keempat: Musuh Islam sentiasa mencari peluang atas kelemahan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan kita. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada dan berhati-hatI.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 30 Januari 2026.

