
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag semalam bukan sekadar catatan kemenangan Barisan Nasional (BN) tetapi ia menjadi diagnosis politik yang jelas tentang punca kalah-menang dalam pilihan raya.
Hakikatnya ia kelihatan mudah namun hal ini sering dinafikan iaitu undi yang berpecah akan membunuh dan kesatuanlah yang boleh menyelamatkan.
Di Sabah, formula itu diterjemahkan tanpa retorik. Semua parti kerajaan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih untuk menahan nafsu untuk bertanding, lalu memberi laluan kepada BN untuk mempertahankan kedua-dua kerusi yang disandang sebelum ini.
Keputusan ini kelihatan remeh di atas kertas, tetapi implikasinya besar di peti undi.
Di Kinabatangan, walaupun berlaku pertembungan tiga penjuru, ketiadaan sabotaj dalaman sesama rakan kerajaan menutup ruang pembangkang memetik hasil.
We Di Lamag pula, perlawanan satu lawan satu mematikan terus harapan lawan untuk bermain sentimen atau kekeliruan pengundi.
Lebih menarik, kemenangan ini tidak bergantung semata-mata kepada jentera, tetapi dimantapkan oleh sentimen emosi pengundi.
Undi simpati sebagai mengenang jasa Allahyarham Bung Moktar Radin yang begitu lama berkhidmat di kawasan berkenaan, bukan sekadar faktor sampingan.
Sebaliknya ia adalah realiti politik masyarakat setempat yang menghargai kesinambungan dan kesetiaan. BN boleh dianggap bijak membaca emosi ini, dan yang lebih penting, tidak melawan arusnya.
Dari sudut pemilihan calon, BN memperlihatkan kematangan taktikal. Meletakkan Mohd Naim Kurniawan, anak Bung Moktar, di Kinabatangan bukan politik sentimental kosong.
Ia adalah strategi kesinambungan kuasa dan pengaruh, memberi mesej jelas bahawa amanah belum selesai.
Dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) bukan tempoh singkat sebagai fasa pembuktian. Jika Naim gagal, nama besar bapanya tidak akan mampu menyelamatkan. Sebaliknya, jika berjaya, BN memperoleh aset politik jangka panjang.
Di Lamag, pemilihan Mohd Ismail Ayub (MIHA) pula mencerminkan politik berasaskan data, bukan ego.
Calon ini hampir menewaskan Bung Moktar ketika bertanding sebagai wakil Bebas dalam PRN Sabah ke-17 baru lalu, tewas dengan margin 153 undi — satu angka yang menjerit potensi.
Meletakkan MIHA adalah pengakuan jujur BN bahawa kemenangan bukan soal siapa lebih senior atau daripada mana asalnya, tetapi siapa lebih hampir dengan denyut nadi pengundi.
Namun faktor penentu sebenar tetap sama iaitu payung kuasa. Sokongan kerajaan negeri dan pusat menyediakan kelebihan struktur — daripada penyelarasan jentera, keyakinan pengundi terhadap kestabilan, hingga persepsi bahawa wakil rakyat yang menang mampu “deliver”. Politik realiti mengatasi politik slogan.
Kesimpulannya, PRK Kinbatangan dan Lamag adalah amaran keras kepada pembangkang dan peringatan berguna kepada parti kerajaan.
Tanpa kesatuan, calon sehebat mana sekali pun akan karam. Namun berkat kesatuan, bahkan calon yang pernah tewas tipis boleh menang besar.
Jika formula ini dikekalkan, PRU-16 bukan sekadar pertarungan kerusi sebaliknya ia bakal menjadi referendum tentang siapa benar-benar memahami hukum asas politik Malaysia iaitu bersatu atau binasa!
Namun tidak semua parti-parti politik di Malaysia punya jiwa besar dan berniat jujur untuk bersatu.
Kalau tidak masakan “kolaborasi agung” yang dicetuskan UMNO ditolak mentah-mentah oleh parti-parti Melayu-Islam lain. — Edisi 9

