Tuesday, July 21, 2026

RPTM kompas membangunkan agenda Ekonomi Biru negara

Wacana global turut menunjukkan bahawa ekonomi lautan berpotensi menjadi enjin pertumbuhan baharu dunia.

Mesti Baca

Oleh DR MOHD ZAMRI IBRAHIM

PELUNCURAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 wajar diangkat sebagai usaha negara menetapkan kompas dalam mengemudi masa depan pembangunannya.

Dalam dunia yang semakin sarat dengan ketidaktentuan ekonomi, tekanan ekologi dan persaingan geopolitik, negara memerlukan lebih daripada sekadar dasar dan program; negara memerlukan arah yang jelas dan berprinsip.

Dengan meletakkan pendidikan tinggi di teras perancangan jangka panjang, RPTM berfungsi sebagai kompas strategik yang membimbing hala tuju pembinaan keupayaan nasional — daripada pembentukan insan dan penguasaan ilmu, kepada pengurusan sumber dan kelestarian masa depan.

Bagi Malaysia sebagai sebuah negara maritim, kompas ini turut menentukan bagaimana laut dan khazanahnya diurus, dimanfaatkan dan diwariskan melalui agenda Ekonomi Biru negara.

Penegasan Perdana Menteri semasa peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia mencerminkan kefahaman bahawa pembangunan masa depan tidak boleh digerakkan oleh modal, teknologi atau eksploitasi sumber semata-mata.

Keupayaan sebenar negara terletak pada kualiti insan yang dibentuk, kekuatan ilmu yang dijana dan kebijaksanaan institusi awam memimpin perubahan.

Sebelum acara peluncuran, Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Menteri Pendidikan Tinggi pula mengukuhkan lagi anjakan pemikiran ini.

Universiti awam digesa keluar daripada kerangka pengurusan rutin dan jangka pendek untuk berfungsi sebagai institusi kepimpinan nasional, membina bakat, memperluas akses ilmu dan mempertahankan kelestarian sebagai asas pembangunan.

Menjayakan Agenda Ekonomi Biru Negara

Dalam konteks menjayakan lonjakan ini, Ekonomi Biru perlu difahami bukan sebagai agenda ekonomi sektoral, tetapi sebagai pendekatan pembangunan berasaskan nilai dan amanah.

Ia menuntut keseimbangan antara pertumbuhan, kesejahteraan dan tanggungjawab ekologi, berteraskan kefahaman bahawa sumber laut bukan warisan untuk dieksploitasi, tetapi amanah yang perlu ditadbir dengan ilmu dan kebijaksanaan.

Bagi Malaysia, sebuah negara maritim yang sejarah, ekonomi dan identitinya terikat dengan laut, Ekonomi Biru merupakan medan strategik untuk membina kelebihan daya saing yang berterusan.

Wacana global turut menunjukkan bahawa ekonomi lautan berpotensi menjadi enjin pertumbuhan baharu dunia. Namun, potensi ini hanya dapat direalisasikan jika disokong oleh tadbir urus yang berwibawa, sains yang kukuh dan bakat berkeupayaan tinggi.

Tanpa asas ilmu dan institusi yang berfungsi sebagai penjaga kepentingan awam, pembangunan berasaskan laut berisiko mengulangi kesilapan lama, pertumbuhan yang akhirnya menghakis sumbernya sendiri.

Di sinilah RPTM menyediakan kerangka pemikiran yang tepat pada masanya. Kesemua 10 Lonjakan RPTM membentuk ekosistem transformasi pendidikan tinggi negara.

Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak terletak pada keseragaman, tetapi pada keupayaan setiap universiti awam menterjemah lonjakan tersebut secara fokus, berasaskan mandat dan kekuatan institusi masing-masing.

Inilah makna sebenar pendekatan whole-of-nation dalam pendidikan tinggi iaitu setiap institusi memainkan peranan strategik yang saling melengkapi demi kepentingan negara.

Keutamaan Lonjakan Berdasarkan Fokus

Bagi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), keutamaan institusi difokuskan kepada tiga lonjakan teras yang paling rapat dengan mandat dan kekuatan universiti, iaitu pembangunan bakat berprestasi tinggi, pendidikan fleksibel, serta kemampanan dan kesihatan bumi.

Keutamaan ini bukan penolakan terhadap lonjakan lain, tetapi penegasan terhadap tanggungjawab UMT sebagai universiti berteras marin dan kelestarian.

Pembangunan bakat berprestasi tinggi, dalam konteks UMT, bermaksud membina kapasiti nasional dalam bidang marin, perikanan, oseanografi dan sains alam sekitar serta bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan industri, tetapi untuk memperkukuh keupayaan negara mentadbir sumber laut secara strategik dan beretika.

Pendidikan fleksibel pula mengukuhkan peranan universiti sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada industri dan komuniti pesisir, memastikan ilmu sentiasa relevan dalam ekonomi yang berubah pantas.

Pada masa yang sama, komitmen terhadap kemampanan dan kesihatan bumi meletakkan universiti sebagai penjaga amanah ilmu iaitu memastikan pembangunan Ekonomi Biru tidak dicapai dengan mengorbankan ekosistem dan masa depan generasi akan datang.

Dalam hal ini, universiti awam berfungsi bukan sekadar sebagai pusat pengajian, tetapi sebagai institusi moral dan strategik negara.

Hala Tuju Yang Jelas

RPTM 2026–2035 wajar diangkat sebagai kompas nasional yang membimbing Malaysia dalam mengemudi cabaran masa depan. Ekonomi Biru, dalam kerangka ini, bukan hanya agenda pertumbuhan, tetapi ujian kematangan negara dalam menggabungkan ilmu, nilai dan tanggungjawab.

Seperti pelayaran di lautan luas, arah yang jelas lebih penting daripada kelajuan. Tanpa kompas yang tepat, kapal sebesar mana pun boleh tersasar.
Pendidikan tinggi ialah kompas itu.

Universiti awam memikul peranan sebagai nakhoda ilmu yang memastikan pelayaran negara tidak sekadar bergerak, tetapi sampai ke destinasi yang selamat dan lestari.

Bagi UMT, komitmen terhadap RPTM ialah komitmen untuk memimpin pelayaran ini, demi Malaysia yang berdaya tahan, berilmu dan terpelihara untuk generasi mendatang.


Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan