Friday, June 5, 2026

Ombudsman Malaysia perkukuh tadbir urus, tingkat CPI negara

Ombudsman Malaysia akan menjadi institusi yang lebih berkesan, mampu menerima dan menyelesaikan aduan secara menyeluruh...

Mesti Baca

PENUBUHAN Ombudsman Malaysia dijangka akan memberi impak positif terhadap pengukuhan tadbir urus serta menyokong peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Ismail Bakar.

Ketika mengadakan kunjungan sembah ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini, beliau yakin dengan mandat dan bidang kuasa yang menyeluruh terhadap semua agensi perkhidmatan awam, hasrat itu dapat dicapai.

Beliau berkata, apa yang penting Ombudsman Malaysia akan menjadi institusi yang lebih berkesan, mampu menerima dan menyelesaikan aduan secara menyeluruh serta menutup sebarang ruang kepada salah tadbir, salah laku dan pelanggaran integriti.

Sebagai pelengkap kepada fungsi sedia ada, beliau turut menyarankan agar dapatan siasatan dan syor yang dirujuk oleh Ombudsman Malaysia kelak boleh dimanfaatkan oleh pihak berkuasa tatatertib (PBT) bagi tindakan lanjut.

“Pendekatan ini dapat mengelakkan pertindihan proses siasatan, menjimatkan masa dan sumber serta mempercepatkan tindakan tatatertib terhadap pegawai awam yang terlibat, sekaligus menyokong sistem penguatkuasaan yang lebih efisien dan berkesan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, selaras dengan peranan EAIC sebagai Ketua Peneraju Kumpulan Fokus Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, cadangan-cadangan seperti itu mencerminkan usaha bersepadu untuk menyelaras dan memacu reformasi sistem penguatkuasaan negara.

Katanya, melalui peranan tersebut, EAIC secara aktif merangka cadangan penambahbaikan berkaitan mekanisme aduan, siasatan, tatatertib, dan kebertanggungjawaban agensi penguatkuasaan, selaras dengan agenda memperkukuh integriti sektor awam.

“EAIC yakin bahawa kerjasama antara badan pemantau seperti Ombudsman Malaysia dengan semua agensi penguatkuasaan akan membentuk ekosistem tadbir urus yang lebih kukuh, mempertingkat keyakinan rakyat, dan menyokong usaha kerajaan meningkatkan skor CPI Malaysia secara berterusan,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan