ALHAMDULILLAH, Edisi 9 kini melangkah ke tahun keenam penerbitannya. Enam tahun bukanlah satu tempoh yang singkat dalam dunia kewartawanan, khususnya bagi sebuah agensi berita yang berdiri dengan sumber terhad namun idealisme yang besar.
Sepanjang tempoh ini, Edisi 9 memilih laluan yang tidak mudah. Menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam suasana landskap media yang semakin mencabar, sarat dengan kepentingan, tekanan dan polemik, menuntut keteguhan prinsip serta kejujuran dalam setiap laporan.
Menguruskan sebuah agensi berita —walau sekecil mana sekalipun — sentiasa menuntut kesabaran, keberanian dan kesungguhan yang berterusan.
Namun, dengan sokongan dan kepercayaan khususnya kepada pembaca dan pengikut setia, kami terus bertahan dan melangkah ke hadapan sehingga kini.
Justeru, Edisi 9 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pengiklan, agensi-agensi kerajaan serta para pembaca yang terus mendukung peranan kami sebagai penyampai maklumat dan wacana awam.

Memasuki tahun baharu dan menghadapi cabaran masa depan, Edisi 9 kekal dengan komitmen menyampaikan laporan, analisis dan rencana secara percuma, demi memastikan akses maklumat yang adil dan terbuka kepada masyarakat.
Kami percaya maklumat yang sahih dan seimbang bukan satu keistimewaan, tetapi satu keperluan asas dalam sebuah masyarakat yang berfikir.
Kami juga akan terus mengekalkan pendekatan laporan yang sederhana, berfakta dan bertanggungjawab, di samping mengetengahkan pandangan ilmiah, akademik serta ulasan isu semasa yang dekat dengan realiti rakyat.
Dalam era kebisingan maklumat dan sensasi, Edisi 9 memilih untuk kekal waras, berprinsip dan berpijak di bumi nyata.
Mudah-mudahan tahun 2026 menjadi medan untuk Edisi 9 memperkukuh peranan sebagai agensi media yang bukan sekadar melaporkan peristiwa, tetapi menyumbang kepada pembinaan wacana yang matang, beretika dan bermanfaat untuk negara.
Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang terus diberikan.
Selamat Tahun Baharu 2026
Editor

