
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.
Pada hari yang mulia ini, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk “Muhasabah dan Azam Menjadi Lebih Baik.”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Tahun 2025 telah kita tinggalkan, dan kini kita melangkah ke tahun 2026. Di akhir zaman ini, masa terasa semakin pantas berlalu seakan baru semalam kita memasuki tahun 2025.
Inilah hakikat perjalanan waktu, ia tidak pernah berhenti dan tidak menunggu sesiapa.
Masa bergerak pantas seperti libasan pedang, sesiapa yang lalai memanfaatkannya akan terhimpit dalam kerugian dan terdedah kepada kemurkaan Allah SWT.
Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu cepat, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam, satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.” (Riwayat al-Tirmizi).
Hadis ini menegaskan bahawa antara tanda hampirnya kiamat ialah masa yang terasa semakin pantas berlalu.
Kesibukan mengejar urusan dunia dan tenggelam dalam kepentingannya menjadi antara sebab waktu dirasakan semakin sempit dan singkat.
Maka sebagai hamba Allah SWT, kita dituntut mengisi masa yang ada dengan iman, amal soleh dan zikir sebagai bekalan menuju akhirat.
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar tidak melengah-lengahkan ketaatan kepada Allah SWT, sebaliknya bersegera melaksanakan perintah-Nya.
Apa jua peranan yang kita pikul hendaklah dilaksanakan dengan niat dan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Amatlah rugi sekiranya masa yang singkat ini berlalu tanpa ketaatan, sehingga menjauhkan kita daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT, bahkan mengundang kemurkaan-Nya.
Hal ini ditegaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahuanhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jadilah engkau di dunia ini seperti seorang perantau atau orang yang sedang melalui suatu jalan”.
Lalu Ibnu Umar Radiallahuanhuma berkata:
“Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu, dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang kematianmu. (Riwayat al-Bukhari).
Hadirin Jumaat yang dimuliakan,
Sepanjang tahun yang berlalu, adakah iman dan amal kita semakin bertambah atau semakin longgar?
Adakah hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia semakin erat, atau semakin menjauh disebabkan hawa nafsu dan perbezaan pandangan?
Adakah kita benar-benar ikhlas menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kerana Allah SWT, atau sekadar mengejar kepentingan diri?
Jika kita masih cuai, lalai, dan lupa hakikat kehidupan sebagai seorang hamba di dunia ini, maka bangkitlah dengan azam yang bersungguh-sungguh untuk memperbaikinya.
Ketahuilah bahawa musuh sebenar kita bukanlah manusia, tetapi syaitan dan bala tenteranya, serta nafsu amarah yang sentiasa membuak dan tidak pernah merasa puas.
Tanpa iman dan amal, manusia pasti tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan menyesal.
Apabila saat itu tiba, tiada lagi peluang untuk kembali ke dunia bagi memperbaiki amalan, menambah ketaatan dan menghambakan diri kepada Allah SWT.
Adapun kehidupan yang kekal abadi, pintu masuknya hanya satu iaitu ketakwaan yang lahir daripada iman yang berpegang teguh kepada Islam walau terpaksa menggenggam bara api, serta menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Allah SWT merakamkan penyesalan tersebut dalam Surah al-Mu’minun ayat 99 dan 100 yang bermaksud:
“Kesudahan keadaan orang kafir itu hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata, “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia). Supaya aku dapat melakukan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Sesungguhnya itu alasan yang diungkapkannya sahaja. Dan di belakang mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) sampai ke hari mereka dibangkitkan (pada hari kiamat).”
Oleh itu, beriman dan beramallah dengan penuh kehambaan, kerana kehidupan di dunia ini hanyalah ujian yang bersifat sementara, sedang usia dunia semakin menua.
Sesungguhnya orang yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa bermuhasabah terhadap masa lalu, segera bertaubat, dan memperbanyak amal soleh sebagai bekalan untuk bertemu Allah SWT.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang pandai adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian.” (Riwayat al-Tirmizi).
Hadirin Jumaat yang dimuliakan,
Orang yang sentiasa bertakwa dan beramal dengan bersungguh-sungguh akan dikurniakan ilmu oleh Allah SWT sebagai petunjuk dan bimbingan hidup.
Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 282:

“Oleh itu bertakwalah kepada Allah dan (ingatlah) Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.
Ayat ini menjelaskan bahawa ilmu yang benar tidak terpisah daripada takwa.
Allah SWT tidak menjanjikan ilmu semata-mata kepada orang yang cerdas akalnya atau luas bacaannya, tetapi kepada orang yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT melalui ketakwaan dan ketaatan.
Apabila seseorang itu berusaha melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dengan penuh kesungguhan, maka Allah SWT sendiri akan membukakan pintu kefahaman kepadanya.
Selain itu, marilah kita bersama-sama mendirikan solat fardu secara berjemaah dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh sebagaimana amalan Rasulullah SAW dan para sahabat Radiallahuanhum.
Sesungguhnya, hanya solat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh sahaja mampu mencegah perkara keji dan mungkar, memupuk sifat kasih sayang, tolong menolong dan hormat-menghormati dalam kalangan kita.
Di tahun baru ini juga, marilah kita memberi keutamaan kepada kewajipan menunaikan zakat kerana zakat bukan sahaja menyucikan harta, bahkan membentuk sikap peduli dalam kalangan masyarakat dan membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah seperti sifat bakhil dan hasad dengki.
Para tetamu Allah SWT yang dimuliakan,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan kita:
1. Kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan memperbanyak amal soleh sebelum bertemu ajal. Sesungguhnya orang yang bijaksana ialah mereka yang sentiasa bersiap siaga dengan menyediakan bekalan bagi kehidupan selepas kematian.
2. Kita hendaklah berazam dan bertekad untuk berubah menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik, serta terus berusaha mencari keredaan-Nya dalam setiap aspek kehidupan.
3. Umat Islam diseru agar istiqamah dalam menunaikan solat fardu secara berjemaah, menunaikan kewajipan zakat, serta memelihara dan mengamalkan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) daripada yang mungkar dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu! Sesungguhnya, perkara itu merupakan urusan yang perlu diambil berat dengan penuh keazaman”. (Surah Luqman: 17)


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 2 Januari 2026.

