WORLDWIDE Holdings Berhad (Worldwide Holdings) telah menerima anugerah Majikan Pilihan (Sektor Swasta) – Kategori Emas daripada Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia(MIHRM).
Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan berprestij yang meraikan kecemerlangan amalan sumber manusia dan penglibatan pekerja dalam sektor swasta di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, anugerah itu sebagai mengiktiraf komitmen pihaknya membina persekitaran kerja yang progresif dan berprestasi tinggi.
Pengiktirafan tersebut, jelas beliau, turut menonjolkan penekanan syarikat terhadap pembangunan bakat, kesejahteraan pekerja serta usaha penambahbaikan berterusan di semua peringkat organisasi.
”Anugerah ini mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan modal insan jangka panjang kami.
“Di Worldwide Holdings, kami percaya bahawa pelaburan terhadap pekerja adalah pelaburan terhadap masa depan syarikat.
“Kami akan terus membangunkan inisiatif bermakna yang memupuk bakat, menggalakkan inovasi dan membentuk budaya kerja mampan serta berprestij tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anugerah itu diterima oleh Ketua Pegawai Khidmat Sokongan Worldwide Holdings, Kamal Zaharin Nazir.
Norazlina berkata, pencapaian itu mengukuhkan lagi reputasi Worldwide Holdings sebagai sebuah organisasi yang progresif, bertanggungjawab dan berorientasikan manusia
Sebagai badan profesional pembangunan sumber manusia yang terulung di Malaysia, MIHRM menilai organisasi berdasarkan kepimpinan, strategi HR, penglibatan pekerja, pembelajaran berterusan serta inovasi dalam amalan sumber manusia.
Prestasi cemerlang Worldwide Holdings dalam aspek-aspek ini telah menjadikan syarikat sebagai penerima unggul dalam Kategori Emas.
Selain pengiktirafan ini, Worldwide Holdings turut meraih anugerah Gold Class 2 di bawah MSOSH Occupational Safety and Health 43rd Awards.
Dua anak syarikat Worldwide Holdings juga telah mendapat anugerah bersempena Selangor Investors Appreciation Awards anjuran Invest Selangor.
Katanya, syarikat Worldwide Envirogreen Sdn Bhd menerima anugerah The Highest Investment by Domestic Companies for Services Sector bagi tahun 2023 manakala Worldwide Hydro Energy Sdn Bhd menerima anugerah yang sama bagi tahun 2024.
“Kesemua pencapaian ini membuktikan komitmen teguh syarikat terhadap kecemerlangan operasi, amalan perniagaan bertanggungjawab dan pelaburan strategik yang memberi impak jangka panjang kepada para pemegang taruh serta Negeri Selangor,” kata Norazlina.

