Monday, July 20, 2026

Tarik diri: Nama Abdul Halim kekal dalam kertas pencalonan

Perkara itu termaktub dalam Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 - SPR

Mesti Baca

NAMA calon Pakatan Harapan (PH), Abdul Halim Gulam Hassan kekal dalam kertas undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, ini kerana tiada seorang calon pun boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan.

Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“SPR mengambil maklum tentang penarikan diri calon PH, Abd Halim Sidek Gulam Hassan yang telah diisytiharkan sebagai salah seorang calon yang bertanding di Bahagian Pilihan Raya Negeri N. 62 Silam pada Hari Penamaan Calon yang lalu.

“Merujuk kepada Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, yang menyatakan seperti berikut: “tiada seorang calon pun boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10.00 pagi pada hari penamaan”.

“Oleh demikian, calon PH bagi Bahagian Plihan Raya Negeri N.62 Silam kekal di dalam kertas undi bahagian pilihan raya berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada hari penamaan calon PRN Sabah Ke-17 Sabtu lalu, Abdul Halim telah menyerahkan borang pencalonan bersama lapan calon lain.

Mereka ialah Sharif Musa Sharif Mabul (BN-UMNO), Datuk Mizma Appehdullah (GRS-Gagasan Rakyat), Datuk Mohammad Yusof Apdal (Warisan) dan Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN-Bersatu).

Lain-lain ialah Amat Kawoh @ Abd Rahman (Bebas), Mohammad Enriquez (SPP), Brahim Bisel (PIS) dan Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS).

Kerusi DUN Silam sebelum ini disandang oleh Dumi Pg Masdal daripada parti Warisan.

Semalam, Majlis Pimpinan PKR Sabah mengesahkan Abdul Halim Sidek menarik diri daripada bertanding di kerusi N 26 Silam “atas keputusan sendiri tanpa sebarang tekanan pihak luar.”

Pengerusinya, Mustapha Sakmud berkata, Majlis Pimpinan PKR Sabah menghormati keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti komponen PH serta rakan kerjasama politik di negeri itu.

“Semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Penarikan diri Abdul Halim dipercayai ada kaitan dengan kerjasama antara PH dan BN yang mana BN turut mempertaruhkan calonnya di kerusi tersebut. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan