SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menghayati dan memahami intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid Negeri Selangor bertajuk “Baca Dahulu, Teliti dan Fahami” hari ini.
Baginda senada dengan intipati khutbah yang menyeru agar umat Islam supaya jangan cepat membuat kesimpulan, apatah lagi menyebarkan sesuatu yang belum pasti.
“Setiap telinga yang mendengar, setiap mata yang melihat, dan setiap hati yang menilai akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office malam ini.
Titah baginda, penyakit masyarakat kita hari ini adalah suka cepat menilai, cepat menghukum dan pantas menyebarkan sesuatu maklumat sebelum dipastikan kesahihannya.
“Islam mengajar kita prinsip ‘tathabbut’ iaitu memastikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan atau menyampaikan sesuatu maklumat kepada khalayak ramai,” titah baginda.
Justeru, khutbah hari ini mengingatkan agar kita jangan baca tajuk sahaja, dengar separuh, lalu terus menjatuhkan hukum, menuduh dan memfitnah orang lain.
Baginda mahu agar kita semua fikirlah dahulu sebelum bercakap, semak dan pastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebar atau mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Setiap kesimpulan yang dibuat mestilah berasaskan kepada penelitian dan kajian yang mendalam. Bukan sekadar ikut firasat dan prasangka sahaja,” titah baginda.
Ingatan Baginda lagi, kadang-kadang diam itu bukan tanda kelemahan atau tidak proaktif, tetapi ia adalah tanda kebijaksanaan.
Itulah simbol kematangan dalam Islam yang menjadikan diam itu ada kalanya dapat menahan tersebarnya fitnah, dapat mengelak tercalarnya maruah dan dapat menyelamatkan daripada melakukan dosa tanpa disedari.
Tegas Baginda lagi, kita mesti amalkan budaya bertanya, semak, dan hadamkan betul-betul.
“Sesungguhnya orang yang bijak tidak cepat menghukum, namun dia sentiasa teliti dalam mencari makna di sebalik sesuatu berita atau perkhabaran,” — Edisi 9

