Thursday, June 4, 2026

Industri permainan perlu utamakan keselamatan kanak-kanak

Susulan kebimbangan awam yang meningkat berhubung risiko pendedahan pengguna muda terhadap kandungan tidak sesuai dan interaksi berbahaya dalam permainan popular.

Mesti Baca

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menggesa syarikat pembangun serta platform permainan digital agar mengambil langkah proaktif memastikan keselamatan kanak-kanak dalam ruang siber yang semakin berkembang pesat.

Seruan itu dibuat susulan kebimbangan awam yang meningkat berhubung risiko pendedahan pengguna muda terhadap kandungan tidak sesuai dan interaksi berbahaya dalam permainan popular seperti Roblox dan PUBG, yang turut dibincangkan di Parlimen baru-baru ini.

Presiden Persatuan Digital Malaysia (MDA) merangkap Ahli Majlis CMCF, Nicholas Sagau berkata, permainan digital mempunyai potensi besar menyemai kreativiti dan semangat berpasukan dalam kalangan remaja, namun tanpa kawalan wajar ia boleh membawa kesan sebaliknya.

“Industri permainan mempunyai tanggungjawab untuk menerajui perubahan ini; bukan sekadar sebagai tindak balas kepada pengawalseliaan, tetapi kerana perlindungan pemain muda seharusnya menjadi sebahagian daripada reka bentuk permainan yang mengutamakan keselamatan dan tanggungjawab.

“Sama pentingnya, ibu bapa perlu dibekalkan dan dididik bagaimana untuk melindungi anak-anak mereka dalam dunia yang digital yang semakin meluas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 34 peratus remaja bermain permainan digital setiap hari, manakala 22 peratus menghabiskan lebih empat jam setiap kali bermain. 

Kajian itu turut mendedahkan 12 peratus remaja tergolong dalam kumpulan berisiko permainan bermasalah — menunjukkan keperluan mendesak terhadap standard industri yang lebih kukuh tanpa mengekang inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood pula menegaskan, pendekatan kawal selia kendiri yang diterajui industri boleh menjadi langkah efektif bagi memastikan ruang dalam talian yang selamat.

“Kawal selia kendiri berfungsi dengan baik apabila ia dimiliki oleh industri yang diurusinya. Ini peluang kepada syarikat permainan untuk menunjukkan bahawa mereka mengambil kesejahteraan pemain muda dengan serius dan mereka boleh dipercayai untuk bertindak dengan tanggungjawab dan progresif,” katanya.

CMCF turut membuka jemputan kepada semua syarikat permainan tempatan dan antarabangsa untuk menyertai rangka kerja kendiri itu, yang bertujuan membangunkan garis panduan seimbang antara inovasi dan tanggungjawab sosial.

Inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh amalan terbaik dalam aspek jaminan umur, alat kawalan ibu bapa, penapisan kandungan serta reka bentuk beretika.

Mediha menambah, keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama antara platform, pembangun, pendidik, ibu bapa dan pembuat dasar.

Sebagai langkah susulan, CMCF akan menganjurkan siri perundingan bersama pemegang taruh bagi mengenal pasti penyelesaian praktikal dalam reka bentuk permainan yang lebih selamat dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Pembangun dan pihak berkepentingan yang ingin menyertai inisiatif ini boleh menghubungi CMCF melalui e-mel di [email protected]. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan