“KEMBALILAH kepada UMNO. Ini bukan soal gila talak. Tapi Bersatu sendiri sudah bercerai-berai.”
Demikian nasihat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Mohd Puad berkata, beliau bukan mahu menyibuk soal rumah tangga parti lain tetapi Bersatu adalah lawan UMNO dan tumbangkan partinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun 2018 lalu.
Bahkan tegas beliau, penubuhan Bersatu memang untuk membunuh dan menggantikan UMNO.
“Tetapi Tun M (Mahathir Mohamad) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) gagal. Tun M sudah ditendang dari Bersatu. Kini giliran Muhyiddin pula.
“Sudah tentu saya akan memastikan Bersatu tutup kedai,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Kata beliau, berdasarkan pendedahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal kepada media bahawa Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menang jika melawan Muhyiddin sebagai Presiden parti.
“Hamzah kata Wan Ahmad Fayhsal belanja banyak duit untuk parti. Muhyiddin pula sukar didekati.
“Pokoknya Hamzah tidak mempunyai peluang untuk melawan Muhyiddin. Tetapi ramai Ahli Parlimen memihak kepadanya. Dia boleh guna senjata itu untuk tawar menawar,” katanya.
Semalam, Mohd Puad turut mencadangkan agar Bersatu mencontohi Semangat 47 yang membubarkan parti mereka dan kembali ke pangkuan UMNO.
Beliau berkata, sejak berkuasa, Bersatu tidak pernah aman gara-gara gilakan kuasa termasuk menyingkirkan Dr Mahathir daripada parti itu.
“Bersatu bertanggungjawab tubuh Perikatan Nasional (PN) yang membunuh Muafakat Nasional.
“Maka diharap perpecahan dalaman Bersatu itu berakhir dengan parti itu dibubarkan dan mereka menyertai semula UMNO,” katanya. — Edisi 9

