SEORANG pelajar Universiti Pendidikan Idris (UPSI) berjaya meraih anugerah Artikel Penyelidikan Terbaik Kategori Pendidikan Awal Kanak-kanak sempena Edu Light USAS International Conference 2025 baru-baru ini.
Muhammad Hamidee Redzuan memperoleh anugerah tersebut menerusi penyelidikannya bertajuk “Pedagogi Neuroinklusif: Pendekatan Adaptif dan Personal dalam Kalangan Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris“.
Menurut Muhammad Hamidee, kajiannya itu menekankan pendekatan pedagogi berasaskan neuro-sains dalam konteks pendidikan tinggi, dengan memberi fokus kepada pembelajaran adaptif dan personal yang mampu memenuhi keperluan pelajar pelbagai latar belakang dan gaya pembelajaran.
“Artikel ini turut menonjolkan integrasi teori neurokognitif dan pedagogi inklusif dalam usaha memperkasa kualiti pengajaran universiti,” katanya dalam kenyataan kepada Edisi 9, baru-baru ini.
Persidangan tersebut berlangsung di kampus Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Perak.
Beliau berkata, kejayaan itu menambah motivasi dan komitmen berterusan terhadap inovasi dalam bidang pendidikan, khususnya dalam membangunkan pendekatan pembelajaran yang responsif terhadap keperluan kognitif dan emosi pelajar.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak di UPSI yang memberikan sokongan sepanjang proses penyelidikan dan penerbitan artikel tersebut.
Edu Light USAS International Conference merupakan persidangan akademik tahunan yang menghimpunkan para sarjana dan penyelidik dari dalam dan luar negara.
Menerusi persidangan itu, para cendekiawan membincangkan pelbagai isu semasa dalam bidang pendidikan, inovasi pedagogi, dan pembangunan insan. – Edisi 9

