Tuesday, July 21, 2026

13.1 juta guna BUDI95 babitkan perbelanjaan RM2.66 bilion

Jumlah tersebut sebahagian daripada 16.55 juta rakyat yang diluluskan untuk layak menerima manfaat subsidi RON95 pada kadar RM1.99 berbanding RM2.60 tanpa subsidi.

Mesti Baca

SERAMAI 13.1 juta rakyat negara ini telah memanfaatkan Budi Madani RON95 (BUDI95) dalam tempoh sebulan pelaksanaannya sejak 1 Oktober lalu, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah tersebut sebahagian daripada 16.55 juta rakyat yang diluluskan untuk layak menerima manfaat subsidi RON95 pada kadar RM1.99 berbanding RM2.60 tanpa subsidi.

Beliau berkata, ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, jumlah transaksi itu melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi dan Kerajaan Madani telah menyalurkan subsidi sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“BUDI95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta membolehkan Kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan
negara,” beliau dalam kenyataan hari ini.

AMIR HAMZAH AZIZAN

Amir Hamzah berkata, di bawah program BUDI95, semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak untuk membeli RON95
bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

Katanya, sejak 13 Oktober 2025, Kerajaan MADANI telah menaikkan had siling kelayakan bulanan RON95 bagi pemandu e-panggilan sepenuh masa, yang digandakan kepada 600 liter sebulan dan memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing.

“Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk bulan Oktober 2025, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan,” katanya.

Setakat 26 Oktober lalu, hanya kurang daripada 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan.

Perincian penggunaan menunjukkan bahawa antara pengguna persendirian, 0.6 peratus telah menggunakan sepenuhnya kelayakan
bulanan 300 liter.

Manakala antara pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu, 0.3 peratus telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter.

Beliau berkata, sebagai komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan BUDI95, Kerajaan MADANI akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Katanya, ini termasuk semakan terhadap had kelayakan tambahan bagi pemandu e-panggilan supaya lebih saksama dan menyeluruh.

Amir Hamzah berkata, Kementerian Kewangan (MoF) juga telah mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa, termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh
singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI melalui MoF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna, bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan.

“Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan