Sunday, July 19, 2026

UMNO tidak larang ahli berhubung dengan mereka yang dipecat

Walaupun berbeza parti dan wadah politik namun ia jangan sampai memutuskan tali persaudaraan yang diikat atas dasar Islam - Asyraf Wajdi

Mesti Baca

UMNO tidak melarang ahli parti untuk berhubung dengan sesiapa termasuk mereka yang dijatuhi hukuman disiplin mahupun yang berbeza parti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.

Beliau menegaskan, perbezaan ideologi politik tidak seharusnya sehingga memutuskan silaturrahim antara mereka.

Beliau berkata, parti hanyalah wadah dan alat untuk memperjuangkan satu-satu agenda berasaskan prinsip, ideologi dan pendekatan yang diyakini masing-masing. 

“Tiada siapa boleh menghukum bahawa pendirian dan ideologinya itu tepat dan betul sepenuhnya. Dalam istilah agama disebut Ijtihadi.

“Sedangkan persaudaraan Islam itu dibina atas dasar aqidah yang disebut ukhuwah dan silaturrah yang sifatnya wajib untuk dipertahankan dan tidak sesekali diputuskan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Kluster ‘pecat dan gantung’ UMNO

Atas sebab itu, jelas Asyraf Wajdi, walaupun berbeza parti dan wadah politik namun ia jangan sampai memutuskan tali persaudaraan yang diikat atas dasar Islam. 

“Tiada masalah berlainqn ideologi yang penting pelihara ukhuwah dan silaturrahim,” katanya.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan ingatan agar para pemimpin dan ahli parti tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan atau perbincangan dengan mana-mana pihak yang telah dijatuhi hukuman oleh Lembaga Disiplin parti itu.

Perkara tersebut berdasarkan arahan dalaman yang dilihat akhbar tersebut menerusi surat pekeliling Setiausaha Agung Bilangan 3 Tahun 2025 yang ditandatangani Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Sabtu.

Menurut surat itu, setiap ahli mempunyai tanggungjawab mendukung matlamat dan tujuan parti, selain melaksanakan dasar-dasar parti selaras dengan Fasal 9.1 Perlembagaan Bersatu. 

“Fasal 9.1.4 turut menegaskan pematuhan terhadap Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” lapor Sinar Harian.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berhubung isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti. 

Mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman, bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan