BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif akan mengetuai jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan negara yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pelantikan Md Raus seiring dengan janji pihaknya untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas yang tidak membabitkan individu daripada FAM.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram pada sidang media 17 Oktober lalu berkata, pelantikan jawatankuasa bebas itu bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.
“Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti,” kata kenyataan itu hari ini.
Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.
Di peringkat antarabangsa pula, Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf.
Beliau juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.
Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan tindakan tegas selepas Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang telah diubah suai ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada badan induk dunia itu.
Ini sekali gus membolehkan kesemua pemain terbabit diturunkan ketika skuad Harimau Malaya berdepan Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kepada FIFA, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa kini FAM dilapor telah mengemukakan rayuan rasmi berhubung hukuman tersebut dan keputusannya akan diketahui pada 30 Oktober ini.
Kelmarin, Tunku Mahkota Ismail menjangkakan FIFA tidak akan membatalkan hukuman tersebut dan jika ada kemungkinan hanya meringankannya. — Edisi 9

