PENYELIDIKAN yang dijalankan oleh warga universiti menjadi antara penanda aras utama dalam menentukan kualiti sesebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, setiap tahun dunia menyaksikan penyelidik tersohor disenaraikan dalam kelompok teratas seperti lima Terbaik atau 20 Terbaik.
Namun menurut beliau, aspek yang lebih penting ialah sejauh mana hasil penyelidikan itu memberi impak sebenar kepada masyarakat.
Beliau berkata, penyelidikan yang dianggap tinggi dan bermutu tidak boleh hanya dinilai berdasarkan penerbitan atau pengiktirafan semata-mata, tetapi perlu dilihat dari sudut kesan positifnya terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti.
“Jika hasil penyelidikan tidak membawa manfaat kepada masyarakat, ia wajar dinilai semula dalam konteks kualiti sebenar.
“Apabila penyelidik kita berjaya menghasilkan dapatan yang memberi impak luas, imej dan kualiti pendidikan tinggi Malaysia akan terus meningkat di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peranan penyelidikan sebagai pemacu utama kualiti pendidikan tinggi negara serta keperluan untuk memastikan dapatan penyelidikan diterjemahkan kepada hasil yang praktikal dan mampu menyelesaikan isu sebenar masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, penyelidik harus memastikan hasil kerja mereka tidak hanya dibaca oleh kelompok akademik, tetapi juga dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat, industri dan agensi pembuat dasar.
Katanya, hasil penyelidikan perlu mampu meningkatkan produktiviti, menambah baik kehidupan masyarakat serta menyumbang kepada kemajuan negara secara mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa universiti perlu memperkukuh budaya kolaborasi dengan industri dan agensi kerajaan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada inovasi yang memberi nilai tambah kepada pembangunan negara.
“Dengan semangat dan usaha penyelidik tempatan yang berorientasikan manfaat sosial dan pembangunan negara, hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dunia pasti dapat direalisasikan.
“Penyelidikan bukan sekadar untuk promosi atau kenaikan pangkat, tetapi lebih kepada memastikan hasilnya dimanfaatkan oleh masyarakat, bukan hanya di negara ini, malah di peringkat global,” katanya.

